Tok Singa Dipenjara 3 Tahun, Kasari Pensyarah Hingga Buta Mata Kiri

LocalPolitics
22 Jun 2025 • 4:57 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang individu dikenali sebagai Tok Singa bersama tiga lagi pengamal perubatan tradisional dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas didapati bersalah mencederakan seorang pensyarah hingga menyebabkan mangsa buta mata kiri secara kekal.

image is not available

Tok Singa & ketiga lagi tertuduh dijatuhkan hukuman sama

Memetik laporan daripada Sinar Harian, Hakim Mohd Zul Zaqikudin Zulkifli menjatuhkan hukuman ke atas Muhammad Firdaus Mohd Adnan, 37, atau lebih dikenali sebagai Tok Singa; Mohd Shamsul Izwan Midin, 37, (Wea Selamos); Idrees Ishak, 46; dan Mohd Eric Mohd Ramli, 39.

Kesemua tertuduh disabitkan bersalah selepas mahkamah menolak pembelaan mereka.

“Mahkamah mendapati pembelaan keempat-empat tertuduh adalah penafian semata-mata.

“Maka semua tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun berkuat kuasa hari ini,” kata hakim dalam keputusannya.

image is not available

Tok Singa adalah perawat tradisional

Mengikut pertuduhan, mangsa Ahmad Shahrill ‘Ariff Zainol, 43, cedera parah dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, 5 Ogos 2021 di sebuah rumah tumpangan di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu hingga mengakibatkan hilang penglihatan kekal pada mata kiri.

Peguam tertuduh, Mohd Azrul Hasyimi Mohamad, memaklumkan kejadian berpunca daripada dakwaan bahawa mangsa menjalankan rawatan tradisional yang tidak selari dengan ajaran Islam.

“Semua tertuduh adalah perawat tradisional yang cuba membantu masyarakat, namun mangsa dikatakan mengamalkan kaedah rawatan tidak selari dengan Islam,” katanya.

image is not available

Kesemua tertuduh dibenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman selepas memohon untuk merayu, dengan syarat jaminan dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 setiap seorang.

Mereka dibebaskan selepas membayar jaminan tersebut.

Sumber: Sinar Harian (Adila Sharrini Wahid)