Bapa kepada Allahyarham Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil menjelaskan keputusan menolak jemputan untuk muncul dalam sebuah rancangan audio siar (podcast) Abang Crime dibuat kerana tidak bersetuju dengan perkongsian maklumat mengenai kes anaknya, bukannya disebabkan soal bayaran.
Menerusi hantaran di Threads, Jazimin meluahkan rasa terkilan apabila pengendali podcast berkenaan didakwa berkongsi kenyataan mengenai isu asid deoksiribonukleik (DNA) yang menurutnya tidak pernah dimaklumkan kepada pihak keluarga.

“Baca di mana ya, ahli keluarga pun tidak tahu yang ada dua DNA. Maklumat diberi oleh forensik di mana, tiada apa yang boleh membantu disebabkan sudah dimandikan dan dibersihkan. Jadi keluarganya ditipu ya dengan pihak forensik dan boleh disensasikan lah ya?”
Susulan itu, Jazimin menegaskan keputusannya memilih untuk hadir ke platform lain bukan kerana mengharapkan bayaran, sebaliknya berpunca daripada rasa kecewa terhadap kenyataan yang pernah dibuat.
“Sebab ini yang membuatkan saya memilih podcast lain. Semoga memahami keputusan yang dibuat dan bukan kerana bayaran. Dari dulu lagi saya pergi ke mana-mana tidak pernah bertanya mengenai bayaran. Jangan buat andaian di mana mencari dosa-dosa kering mahupun yang basah.”
Terdahulu, Abang Crime pernah memuat naik hantaran mendakwa terdapat dua profil DNA pelaku pada tubuh Allahyarham Nurin Jazlin yang masih disimpan di Bank Data DNA Negara.

Menjawab kritikan tersebut, Abang Crime mempertahankan kenyataannya dengan menjelaskan maklumat itu diperoleh daripada individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang forensik dan penyiasatan jenayah.
Untuk rekod, Nurin Jazlin dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007 sebelum mayatnya ditemukan di dalam sebuah beg pakaian pada 17 September 2007. Ujian DNA kemudian mengesahkan identiti mangsa ialah Nurin Jazlin.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
The post Tolak Jemputan Buat Podcast Bersama Abang Crime, Bapa Nurin Jazlin Beri Penjelasan – “Ahli Keluarga Pun Tahu Yang Ada…” first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.

