Tolak politik toksik, seru politik baharu yang membina – Kor Ming

LocalPolitics
23 Aug 2026 • 10:44 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tolak politik toksik, seru politik baharu yang membina – Kor Ming

IPOH: Semua pihak diseru menolak politik toksik yang hanya memainkan sentimen dan persepsi, sebaliknya mengamalkan politik baharu yang membina serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, politik berasaskan sentimen dan persepsi merupakan pendekatan usang yang tidak lagi sesuai dalam usaha membina Malaysia sebagai negara berbilang kaum.

Katanya, politik seharusnya menjadi wadah untuk membina negara dan memastikan Malaysia terus disanjungi, dihormati dan disenangi di pentas dunia.

“Negara ini tidak boleh lagi hidup dengan politik toksik yang telah usang. Kita mahu politik baharu, iaitu politik yang membina dan bukannya politik usang yang membinasakan.

“Politik baharu sepatutnya untuk semua kaum, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan Dusun, kerana kita adalah satu keluarga dan bersaudara,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam DAP Perak di Dewan Sekolah Menengah Shen Jai di sini, semalam.

Katanya, politik tidak seharusnya hanya tertumpu kepada usaha membina persepsi dan memainkan sentimen tanpa melakukan kerja dan memberi khidmat kepada rakyat.

“Setiap hari main persepsi, setiap hari main sentimen. Tidak perlu khidmat, tidak perlu kerja, asalkan main sentimen. 

“Itu adalah politik usang yang membinasakan dan patut kita tolak ke tepi,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, kejayaan yang dicapai kerajaan negeri Perak sepanjang tempoh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) perlu dinilai berdasarkan fakta dan angka, bukannya persepsi.

Katanya, antara pencapaian yang membanggakan ialah prestasi pelancongan Perak yang mencatatkan jumlah kunjungan tertinggi dalam sejarah negeri itu.

“Perak dahulu selalu dikatakan terpinggir dan tertinggal, tetapi tahun lalu menjadi negeri paling popular di seluruh Malaysia dari segi bilangan pelancong.

“Negeri-negeri seperti Terengganu dan Kelantan mencatatkan sekitar empat juta pelancong, manakala Perak menerima 10 juta orang. Ini adalah angka paling tinggi dalam sejarah,” katanya.

Tambah beliau, pencapaian berkenaan membuktikan kerajaan yang bekerja, berkhidmat dan berbakti kepada rakyat mampu membawa perubahan positif kepada negeri.-UTUSAN

The post Tolak politik toksik, seru politik baharu yang membina – Kor Ming appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved