
IPOH: Pengundi, khususnya golongan atas pagar, kini lebih menilai keupayaan kerajaan memastikan kestabilan dan kesejahteraan hidup berbanding terpengaruh dengan slogan politik semata-mata.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, kos sara hidup yang terkawal, peluang pekerjaan, pendidikan untuk anak-anak, keselamatan, kemudahan kesihatan dan pentadbiran tempatan yang berfungsi dengan baik serta berkesan.
“Mereka mahu wakil rakyat yang dapat ditemui, bukan muncul semasa pilihan raya hampir tiba.
“Pengundi mahu sebuah kerajaan yang tidak terlalu sibuk berkonflik tetapi fokus menyelesaikan masalah. Inilah medan sebenar. Kita tidak boleh hanya bertanya apa yang rakyat boleh lakukan untuk parti; sebaliknya memikirkan apa yang parti boleh lakukan untuk rakyat,” katanya berucap pada Bengkel Latihan Pilihan Raya Negeri Perak yang turut dihadiri oleh Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Hang Soon berkata, cabaran terbesar politik negara ialah mengenai kerjasama dan persaingan politik.
“Senario politik semasa pula tidak menentu, saling curiga-mencurigai, rapuh dan mengusarkan. Namun begitu, kita perlu menghadapinya dengan matang dan berani.
“Kerjasama mungkin berlaku mengikut keadaan, tetapi ia tidak boleh mengaburkan identiti, prinsip dan tanggungjawab kita kepada pengundi,” katanya.
Katanya, BN terbukti dan teruji sebagai sebuah keluarga besar yang menyantuni dan menyatupadukan semua kaum di Malaysia dengan parti-parti komponennya memainkan peranan untuk saling bantu-membantu dan lengkap-melengkapi di antara satu sama lain.
“BN mesti mempunyai prinsip yang konsisten, telus dan boleh dijelaskan. Rakyat berhak mengetahui pendirian kita perjuangkan, kestabilan serta apa yang tidak boleh kita korbankan khususnya perkara-perkara yang termaktub dalam perlembagaan.
“Keharmonian masyarakat dan masa depan rakyat. Bagi Perak, perlu bersedia menghadapi pilihan raya sebagai BN yang berdiri di atas kaki sendiri, jelas dalam identiti, yakin dalam kekuatan, berdisiplin dalam jentera dan berani membawa rekod sendiri kepada rakyat,” katanya.
BN katanya, mesti menjadi wadah dan pilihan bagi rakyat yang mahukan kemajuan tanpa ekstremisme, perubahan tanpa huru-hara dan perlindungan hak tanpa mengorbankan perpaduan dan itulah jalan tengah yang mesti diambil serta dipertahankan. –UTUSAN
The post Pengundi atas pagar tidak mudah diyakinkan dengan slogan semata-mata appeared first on Utusan Malaysia.




