Tolak Rukun Negara Tidak Layak Digelar Warganegara Malaysia - Agong

LocalPolitics
1 Jun 2026 • 1:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tolak Rukun Negara Tidak Layak Digelar Warganegara Malaysia - Agong

KUALA LUMPUR - Mana-mana individu yang menolak prinsip Rukun Negara tidak layak digelar rakyat Malaysia, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Baginda bertitah, Rukun Negara yang diperkenalkan pada 31 Ogos 1970 merupakan ikrar dan komitmen seluruh rakyat Malaysia untuk memulihkan perpaduan serta memperkukuh keharmonian sosial dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak, agar menghayati setiap prinsip Rukun Negara dan menjadikannya amalan dan garis panduan hidup sebagai rakyat Malaysia.

"Oleh yang demikian, jika ada mana-mana rakyat malaysia yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara tersebut, saya menasihati agar dia tidak layak di gelar sebagai warganegara Malaysia," titah baginda, seperti dilaporkan Bernama.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Turut berangkat ke istiadat tersebut ialah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; anggota Jemaah Menteri termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; serta para kenamaan dan wakil diplomatik asing.

Baginda memberi ingatan, setiap rakyat perlu mengamalkan sikap toleransi, saling menghormati serta mengekalkan perpaduan dengan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara.

Titah baginda, perpaduan nasional merupakan asas kepada kekuatan negara yang menjamin kemajuan ekonomi, keharmonian antara kaum dan kestabilan Malaysia dalam jangka panjang.

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim menitahkan semua pihak agar mengambil iktibar daripada sejarah hitam negara, khususnya tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang tercetus akibat tindakan melampau segelintir pihak. 

“Peristiwa ini (13 Mei) telah meruntuhkan perpaduan rakyat danmenghancurkan kestabilan negara. Jangan sampai pisang berbuah dua kali," titah baginda.

Istiadat berkenaan merupakan istiadat pengurniaan ketiga yang disempurnakan Sultan Ibrahim sejak baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai 2024.

Pada tahun ini, seramai 161 penerima dikurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. - Getaran, 1 Jun 2026