SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bahawa mana-mana individu yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara, tidak layak digelar warga Malaysia sebagai bertepatan kepada golongan 'kaduk naik junjung'.
Menurut beliau, titah baginda jelas menekankan terhadap kepentingan menghayati dan menghormati prinsip Rukun Negara yang diperkenalkan pada 31 Ogos 1970 sebagai asas perpaduan.
"Titah Tuanku YDP Agong jelas: siapa yang tidak menghormati Rukun Negara, tidak layak bergelar warganegara.
"Amat tepat buat golongan 'kaduk naik junjung' yang lupa daratan, lupa adab dan batas," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Terdahulu, Sultan Ibrahim menyeru kepada semua pihak agar menghayati setiap prinsip Rukun Negara dan menjadikannya amalan dan garis panduan hidup sebagai rakyat Malaysia.
"Jika ada mana-mana rakyat Malaysia yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara tersebut, saya menasihati agar dia tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia," titah baginda.
Baginda bertitah pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Isnin.
Sebelum ini, Asyraf Wajdi mendakwa Tony lupa adab dan batas dengan raja, selain menyifatkannya sebagai biadab.
Kata beliau, apabila titah Sultan dipersenda, ia bukan kebebasan bersuara tetapi biadab.






