
KUALA LUMPUR - Semangat toleransi, kebersamaan dan perpaduan yang terus dipukul bersama merupakan asas kepada kestabilan sosial serta kemakmuran negara, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan.
.
Dalam ucapan sempena sambutan Hari Krismas esok, Ramanan berkata, dalam konteks negara yang berbilang kaum, agama dan budaya, sambutan Krismas mencerminkan keindahan kepelbagaian yang menjadi kekuatan utama Malaysia.
“Perayaan Krismas merupakan saat yang amat bermakna kerana ia menzahirkan nilai-nilai murni sejagat seperti kasih sayang, pengorbanan, keinsafan, kedamaian dan harapan.
“Nilai-nilai ini amat penting dalam membina sebuah masyarakat yang harmoni, penyayang serta saling menghormati, selaras dengan aspirasi dan kerangka Malaysia Madani,’’ katanya.
Ramanan turut menyeru semua rakyat Malaysia supaya bersama-sama mendukung dan menghormati penganut semua agama.
“Inilah masanya untuk menyerlahkan nilai-nilai yang menjadi pegangan penganut Kristian dan juga agama-agama lain, iaitu saling menghormati, bertoleransi antara satu sama lain serta membantu golongan yang kurang bernasib baik.
“Nilai-nilai ini merupakan teras bersama kita semua dalam meraikan kekayaan, kepelbagaian dan kesefahaman yang wujud di negara ini,’’ katanya.
Beliau turut mengajak rakyat Malaysia untuk terus memperkukuh semangat perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan antara kaum sepanjang masa demi menjayakan visi dan misi yang telah direncanakan oleh Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Semoga sambutan Krismas pada tahun ini membawa sinar kegembiraan, ketenangan jiwa serta keberkatan kepada anda sekeluarga.
“Saya juga berharap agar tahun baharu yang bakal menjelang membuka lembaran yang lebih baik, penuh dengan peluang, kemajuan dan kesejahteraan bersama,’’ katanya. - 24 Disember, 2025.
The post Toleransi, kebersamaan dan perpaduan asas kestabilan sosial negara : Ramanan appeared first on Scoop.


