‘Tolonglah buat permit, susah kami kalau kedai Siam kena tutup’

LocalBusiness & Finance
28 Jul 2026 • 10:21 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Tolonglah buat permit, susah kami kalau kedai Siam kena tutup’

PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial, Khalieda Yusra menggesa pengusaha kedai makanan Siam supaya mendapatkan permit perniagaan dan pemilikan pekerja asing yang sah selepas menyaksikan sendiri sebuah premis di Pulau Pinang diserbu pihak berkuasa.

Menerusi hantaran di Facebook, Khalieda atau lebih mesra disapa Kieda Crepe berkata, dia terkejut apabila operasi penguatkuasaan itu berlaku ketika dia sedang membuat siaran langsung sambil menikmati makanan di premis berkenaan.

Menurutnya, detik paling menyentuh hati adalah apabila melihat seorang warga emas dipercayai pemilik premis digari sebelum dibawa menaiki kenderaan pihak berkuasa.

“Ya Allah, pertama kali tengok kedai Siam kena ‘ambush’ depan mata. Paling sedih tengok tok tu kena gari naik trak sekali.

“Kieda pula tengah ‘live’ sambil makan, terkejut juga,” katanya.

Dalam masa sama, Kieda berharap semua pengusaha kedai makanan Siam dapat mematuhi undang-undang dengan mendapatkan permit perniagaan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.

“Untuk peniaga kedai Siam, tolonglah buat permit. Tak ada kedai Siam susah juga kami nak makan kalau kami malas masak. Dan Kieda manusia yang selalu makan kedai Siam,” ujarnya.

Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-ratanya mengakui kedai makanan Siam menjadi pilihan ramai, namun tetap menegaskan setiap premis perlu beroperasi mengikut peraturan.

Seorang pengguna, Muhammad Aliff berkata, dia bersimpati dengan nasib peniaga di kebanyakan kedai Siam, namun berpendapat permit perniagaan merupakan syarat yang perlu dipatuhi semua.

“Kasihan memang kasihan, tapi undang-undang tetap undang-undang. Buat permit, berniaga dengan tenang,” katanya.

Bagi pengguna, Nurul Aisyah pula, dia berharap pihak berkuasa dapat membantu peniaga asing yang benar-benar mahu menjalankan perniagaan secara sah.

“Kalau mereka nak berniaga lama di sini, mudahkan proses yang betul. Sama-sama untung,” katanya.

Sementara itu, Abang Din berkata, kehilangan kedai makanan Siam akan memberi kesan kepada pelanggan yang menggemari hidangan tersebut.

“Memang susah kalau dah tak ada kedai Siam. Tomyam, kerabu dan pulut mangga memang jadi pilihan keluarga kami,” ujarnya.

Namun, seorang lagi pengguna, Syafiq Rahman menegaskan tindakan penguatkuasaan tidak seharusnya dipersoalkan jika premis didapati melanggar syarat yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Tolonglah buat permit, susah kami kalau kedai Siam kena tutup’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved