Tomislav Steinbruckner dilantik ketua jurulatih TFC

FootballSports
1 Dec 2022 • 4:58 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA NERUS: Terengganu FC Sdn Bhd (TFCSB) hari ini mengumumkan secara rasmi pelantikan Tomislav Steinbruckner (gambar) sebagai ketua jurulatih pasukan Terengganu FC (TFC) bagi musim depan.

Steinbruckner, 56, yang berasal dari Croatia sebelum ini merupakan Pengarah Teknikal TFCSB sejak Mac 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Ab Rasid Jusoh berkata Steinbruckner akan memegang tanggungjawab utama untuk membentuk pasukan TFC bagi tempoh setahun.

“Steinbruckner telah menandatangani kontrak bagi tempoh setahun bermula 1 Dis 2022 hingga 31 Dis 2023.

“Beliau akan mengetuai pasukan untuk mengharungi cabaran Piala Konfederasi Asia (AFC) dan Liga Malaysia (Liga M) musim depan,“ katanya pada sidang media di Pejabat TFCSB di sini, hari ini.

Menurut Ab Rasid, Steinbruckner yang memegang lesen Pro Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) adalah calon paling layak mengendali TFC kerana telah memahami dan menganalisis pasukan ketika menggalas tugas sebagai Pengarah Teknikal.

Malah katanya Steinbruckner juga bukan nama asing bagi penyokong Terengganu kerana pernah membimbing pasukan berstatus kelab, T-Team FC pada 2015.

“Ketika bersama T-Team FC, beliau berjaya menonjolkan beberapa pemain berkualiti seperti Safawi Rasid, Arif Fadzilah Abu Bakar dan Norhakim Hassan.

“Pengalaman lain beliau ialah menguruskan pasukan NK Novigrad, NK Orsijek dan Bijelo Brdo di Liga Croatia,“ katanya.

Sementara itu, Steinbruckner ketika ditemui pada sidang media tersebut berkata beliau amat teruja untuk memulakan tugas sebagai jurulatih TFC musim depan dan berjanji untuk meneruskan momentum yang dibawa oleh bekas ketua jurulatih TFC musim ini, Nafuzi Zain.-Bernama