
Sebuah tongkat kayu kemuning milik Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berjaya terjual pada harga RM16,500 menerusi sesi lelongan amal sempena Majlis Makan Malam Amal PAS Melaka di sebuah hotel pada malam Ahad.
Tongkat berkenaan mempunyai ukiran parap ‘TGHH’ yang merujuk kepada Tuan Guru Haji Hadi. Ia pada awalnya ditawarkan pada harga RM2,500 sebelum nilai bidaan meningkat secara berperingkat sehingga mencapai RM16,500.
Lelongan itu diadakan dengan persetujuan Abdul Hadi sebagai antara usaha mengumpul sumbangan untuk tabung parti bagi membantu persiapan jentera PAS menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bidaan tertinggi dimenangi Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, yang kemudiannya menerima tongkat berkenaan daripada Abdul Hadi sendiri.
Baca juga:
Nurul Izzah minta rakyat beri ruang kepada Anwar jalankan tanggungjawab sebagai PM
DAP kekal dalam Kerajaan Persekutuan, 88.47% perwakilan sokong
Ong Kian Ming gesa perwakilan DAP undi ‘Leave’ pada Kongres Khas
Muhamad Muqharabbin merupakan bekas pendaki Gunung Everest yang pernah mencatat sejarah sebagai pendaki termuda dari Asia Tenggara.
Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai dan Exco Pemuda UMNO Malaysia sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bagaimanapun, beliau kemudiannya meletakkan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Lembah Pantai sebelum menyertai PAS sebagai ahli biasa pada Jun lalu.
Kira-kira dua bulan lalu, Muhamad Muqharabbin dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Lembah Pantai.
Sumber: Berita Harian, Sinar Harian
The post Tongkat Abdul Hadi berjaya dibida RM16,500 untuk tabung PRN Melaka appeared first on The Reporter.






