
KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menolak naratif parti itu berpecah kepada dua kem yang masing-masing menyokong Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Azmin Ali.
Sebaliknya beliau berkata isu perpecahan itu diperbesarkan oleh “unsur luar”.
Tun Faisal menggambarkan isu berkenaan disalah tafsir akibat khabar angin, yang menurutnya dimanfaatkan oleh pihak yang mahu meraih keuntungan daripada ketidakstabilan Bersatu.
Bercakap dalam podcast Trick Lama terbitan PodaBoom, Tun Faisal berkata beliau pertama kali dimaklumkan mengenai kewujudan ‘kem Azmin’ oleh media yang bertanya mengenai dakwaan perpecahan dalaman berpunca daripada program pemukiman parti di Gopeng.
“FMT turut bertanya kepada saya, ‘Betulkah kem Azmin menentang kerana kem Azmin berpendapat pemukiman Gopeng adalah mengenai pemilihan parti?’” kata Tun Faisal.
Tun Faisal berkata demikian dalam sesi temu bual bersama hos Datuk Zainul Arifin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Big Boom Media — penerbit Scoop — dan Ketua Pengarang Big Boom Media, Terence Fernandez.
Bagaimanapun, beliau menyanggah dakwaan itu dan menjelaskan tujuan pemukiman itu adalah untuk memberi mandat kepada presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merangka pelan peralihan kuasa jangka panjang bukan melaksanakan penyerahan kuasa segera seperti yang didakwa.
Salah faham itu, kata Tun Faisal membawa kepada cerita mengenai kewujudan kem dalaman, satu naratif yang sebelum ini didakwa beliau telah disampaikan secara salah oleh bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
“Itu adalah formula yang dipersetujui oleh para perwakilan,” tegasnya, merujuk kepada hasil Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2024 yang menyaksikan Hamzah dilantik sebagai Timbalan Presiden manakala Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Setiausaha Agung.
Sambil menolak dakwaan wujudnya kem yang dipimpin secara rasmi oleh Azmin, Tun Faisal menggambarkan situasi itu hanya melibatkan kumpulan kecil yang tidak berpuas hati tetapi digambarkan seolah-olah berpengaruh besar.
“Mereka yang buat kecoh, bising, sebenarnya hanya segelintir. Tidak ramai. Tetapi mereka kuat (buat) bising,” jelasnya, sambil menambah bahawa suara mereka “tenggelam” semasa perhimpunan agung parti oleh majoriti yang menyokong Muhyiddin.
Tun Faisal berkata, kekecohan itu menguntungkan lawan politik Bersatu, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gabungan Pakatan Harapan.
“Penerima manfaat terbesar, yang paling untung, ialah Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan,” tegasnya. “Sebab itu saya tidak melihat ini sebagai isu dalaman. Saya nampak unsur luar.”

Beliau menjelaskan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) yang bersatu padu merupakan ancaman besar kepada kerajaan sekarang, sekali gus memberi motivasi kepada pihak tertentu untuk mencetuskan perpecahan dalaman.
Teori tersebut, katanya, menjadi asas kepada siri peristiwa yang menggugat kestabilan parti — daripada pertikaian terbuka hinggalah kepada akuan bersumpah (SD) yang didakwa bagi mendesak pertukaran kepimpinan.
Beliau turut menyingkap naratif bercanggah mengenai 120 SD yang kononnya ditandatangani bagi mendesak Muhyiddin berundur. Menurutnya, tujuan SD itu sendiri tidak jelas, dengan pihak yang menandatanganinya memberi alasan berbeza-beza.
“Jadi, saya fikir ada yang tidak jelas apa sebenarnya sedang berlaku, dan ada yang tidak jelas mengapa mereka menandatangani,” ujarnya, sambil menegaskan bahawa masalah parti tidak seteruk yang digambarkan.
“Keadaannya bukan begitu,” katanya, tegas.
Walaupun mengakui wujud “krisis” dalam parti membabitkan isu kepimpinan, beliau menegaskan ia sedang ditangani melalui proses dalaman termasuk lembaga rayuan.
Beliau menggesa ahli parti menghormati keputusan perhimpunan agung tahunan dan menumpukan tenaga kepada usaha memenangi pilihan raya negeri Sabah akan datang serta persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.
“Kita perlu kembali kepada fokus dan matlamat yang lebih besar,” katanya.
Podcast Trick Lama, diterbitkan oleh PodaBoom dan disiarkan oleh Big Boom Media — yang juga mengendalikan Scoop — menampilkan perbualan politik mendalam bersama tokoh penggubal dasar semasa dan bekas pemimpin. – 9 November, 2025
The post [TONTON] Unsur luar punca kemelut Bersatu, bukan Azmin: Tun Faisal appeared first on Scoop.
