
KUALA LUMPUR - Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan Rukun Negara adalah satu peringatan penting untuk semua wakil rakyat.
Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor, Ronnie Liu, berkata, titah baginda bukan sekadar arahan kepada wakil rakyat untuk menghadiri Dataran Selangor, sebaliknya membawa maksud yang lebih luas dan mendalam.
Menurut beliau, titah tersebut merupakan peringatan kepada ahli politik agar memahami serta menghayati makna sebenar penghormatan kepada negara, Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang, institusi raja-raja Melayu dan rakyat Malaysia.
Menurutnya, lima prinsip Rukun Negara tidak boleh ditafsir secara terpilih, sebaliknya perlu dihayati sepenuhnya sebagai asas kepada pembentukan budaya politik negara.
“Saya dengan penuh rendah hati dan setinggi-tinggi penghargaan merakamkan terima kasih kepada Sultan Selangor kerana mengingatkan semua ahli politik supaya kembali memahami roh sebenar Rukun Negara, khususnya dalam suasana politik dan sosial yang semakin dipenuhi emosi serta perpecahan.
“Titah Duli Yang Maha Mulia agar ahli politik hadir ke Dataran Selangor dua kali sebulan bagi berinteraksi dengan rakyat serta menghayati Rukun Negara bukan sekadar simbolik atau formaliti, sebaliknya membawa makna yang lebih mendalam, iaitu mengingatkan semua pihak supaya kembali kepada prinsip asas pembinaan negara,” katanya.
Ronnie berkata, sebagai individu yang lama terlibat dalam politik dan perjuangan demokrasi, beliau amat menghargai prinsip keluhuran Perlembagaan sebagai tunjang kepada kestabilan dan keharmonian negara.
Sebagai bukti komitmennya terhadap prinsip tersebut, beliau berkata beliau menamakan anaknya, Zun Xian, yang menurutnya membawa maksud menghormati Perlembagaan, sebagai simbol generasi masa depan yang perlu dibina atas asas kedaulatan undang-undang, tadbir urus berperlembagaan dan prinsip kenegaraan.
“Politik pada era baharu tidak lagi boleh dibina atas dasar kebencian, emosi dan perpecahan, sebaliknya mesti berteraskan kematangan, rasional, sikap saling menghormati serta kepentingan masa depan negara.
“Apa yang diharapkan rakyat pada hari ini bukanlah pertelingkahan berterusan dalam kalangan ahli politik, tetapi kembali kepada prinsip kenegaraan dan bekerjasama membina Malaysia yang lebih matang, stabil, bersatu padu serta penuh harapan untuk generasi akan datang,” katanya.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin menitahkan Ronnie dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki, supaya membaca Rukun Negara setiap minggu bagi memahami kandungannya dengan lebih mendalam serta menjadi rakyat yang beradab dan menghormati institusi diraja.
Baginda turut menitahkan semua ADUN Selangor untuk menghadiri Dataran Selangor dua kali sebulan bagi membaca Rukun Negara yang terukir pada plak di dataran tersebut.
Titah itu dikeluarkan susulan kontroversi berhubung cadangan Siew Ki untuk membenarkan penternakan babi sistem tertutup moden di Selangor, sebagai reaksi terhadap titah Sultan sebelum ini pada Februari yang tidak membenarkan aktiviti tersebut di mana-mana daerah dalam negeri berkenaan.
Ronnie sebelum ini mempertahankan cadangan tersebut dengan menyifatkannya sebagai penyelesaian teknikal yang dikemukakan dalam kerangka institusi undang-undang yang sah.
Sebuah portal dalam talian turut melaporkan bahawa beliau menggesa penternak babi di Selangor mempertimbangkan untuk memfailkan semakan kehakiman, sambil menegaskan bahawa hak mereka dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Isu itu kembali menjadi perhatian selepas Sultan Sharafuddin menegaskan semula bahawa baginda tidak memberi perkenan terhadap aktiviti penternakan babi di negeri itu, selaras dengan titah terdahulu. - Getaran, 20 Mei 2026






