Tony Pua & Lim Guan Eng Pertahan Langkah Rasionalisasi LRT3 Selepas Ditegur Sultan Selangor, Dakwa Jimat RM9.72 Bilion

LocalPolitics
3 Jul 2026 • 9:18 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kerjasama dalam menjayakan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) itu untuk kemudahan rakyat Selangor.

Sultan Selangor juga bertitah projek itu pernah tergendala dan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan penasihatnya, Tony Pua telah mengecilkan kos pelaburan projek berkenaan sehingga saiz stesen, jumlah gerabak dan juga lima cadangan stesen dikurangan.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Selangor Syukur LRT3 Sudah Siap, Ucap Terima Kasih Pada Anwar Ibrahim & Najib Razak

Lim Guan Eng & Tony Pua jelaskan projek LRT3 tak pernah ditangguhkan, dihentikan atau digantung & anggap projek penting untuk rakyat di Lembah Klang

Terbaharu Lim Guan Eng dan Tony Pua tampil menjelaskan projek berkenaan tidak pernah dihentikan malah menyokong sepenuhnya.

Menerusi kenyataan dikongsikan di Facebook, Lim Guan Eng dan Tony Pua menghargai dan menjunjung kasih atas titah Sultan Selangor berhubung penyiapan projek LRT3 yang kini dinamakan Laluan LRT Shah Alam.

Malah dengan rendah diri menjelaskan beberapa perkara yang boleh disahkan dengan pihak Prasarana serta MRCB Bhd.

Menurut Lim Guan Eng dan Tony Pua, projek tersebut tidak pernah dihentikan, terbengkalai mahupun digantung ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018-2020. Bahkan menegaskan pentadbiran PH menyokong sepenuhnya projek tersebut selain menganggap ia projek kritikal serta penting bagi meningkatkan kualiti kehidupan harian penduduk di Lembah Klang.

Najib Razak luluskan RM9 bilion untuk LRT3, Prasarana anugerahkan WPC berjumlah RM15.2 bilion

“Kedua, pada tahun 2015 pentadbiran Barisan Nasional (BN) di bawah Perdana Menteri, Najib Razak telah meluluskan RM9 bilion untuk projek LRT3 dan memberikan Prasarana jaminan kerajaan berjumlah RM10 bilion bagi tujuan meraih dana projek.

“Akan tetapi, Prasarana telah menganugerahkan pelbagai Kontrak Pakej Kerja, atau Work Package Contracts (WPC), berjumlah RM15.2 Bilion pada Mac 2018, jauh melebihi peruntukan asal RM9 bilion yang telah diluluskan,” jelasnya.

Kata beliau selepas mengambil kira segala kos lain, termasuk tetapi tidak terhad kepada pengambilan seperti:

  • Tanah
  • Yuran PDP
  • Perunding
  • Faedah yang akan ditanggung sepanjang tempoh pembinaan

Prasarana kemukakan cadangan belanjawan baharu

Prasarana pada Mac 2018 kemudiannya mengemukakan cadangan belanjawan projek baharu sebanyak RM31.65 bilion serta permohonan tambahan Jaminan Kerajaan sebanyak RM22 bilion bagi mendapatkan pembiayaan untuk projek tersebut.

Jelas mereka lagi yang ketiga selepas perubahan Kerajaan pada Mei 2018, kerja-kerja projek itu diteruskan tanpa ada gangguan, sementara pentadbiran baharu bekerjasama dengan rapat dan secara baik dengan Rakan Pelaksana Projek, atau Projek Delivery Partner (PDP), yang telah dilantik, iaitu MRCB-George Kent, untuk merasionalisasikan kos projek.

Lantik perundingan kejuruteraan bebas untuk diteliti

“Keempat memandangkan projek LRT3 pada ketika itu hanya siap sebanyak 9%, kami mengambil peluang untuk melantik perunding kejuruteraan bebas bagi meneliti dan mencadangkan langkah-langkah rasionalisasi demi memastikan akauntabiliti yang sewajarnya terhadap projek tersebut.

“Langkah ini adalah penting kerana terdapat banyak hutang luar kunci kira-kira yang ‘tersembunyi’ yang telah ditanggung semasa pentadbiran Najib. Ini adalah tambahan kepada puluhan bilion ringgit hutang yang ditanggung akibat skandal 1MDB bernilai RM50 bilion.”

Saiz, skala projek permintaan penumpang mengikut kajian trafik perlu dapat kelulusan SPAD

Tambah mereka lagi, perlu ditekankan mandat semakan berkenaan menetapkan bahawa saiz, skala projek hendaklah memenuhi permintaan penumpang berdasarkan kajian trafik. Selain itu ia juga perlu mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Jimat sebanyak RM15.02 bilion, utamakan fungsi dan kepraktisan

Katanya lagi, yang kelima jemaah menteri juga sudah pun meluluskan semakan kos menurun sebanyak 47% dari RM31.65 bilion, iaitu penjimatan sebanyak RM15.02 bilion.

Selain itu pihak mereka juga sudah mengutamakan fungsi serta kepraktisan berbanding kemewahan serta kemegahan.

Menurutnya, tiada keperluan untuk membina stesen MRT bagi sebuah projek LRT.

Jelaskan langkah yang diambil seperti pengurangan bilangan tren dan banyak lagi

Oleh itu antara langkah-langkah yang diambil termasuklah:

  • Pengurangan bilangan tren: tempahan rolling stock dikurangkan dari 42 set tren 6-gerabak ke 22 set tren 3-gerabak, selaras dengan kajian trafik penumpang sehingga tahun 2035 yang dilakukan oleh perunding bebas serta ia diluluskan oleh SPAD
  • Penangguhan (bukannya pembatalan) pembinaan lima stesen LRT yang mempunyai unjuran penumpang awal yang rendah, sehingga permintaan masa hadapan mewajarkan pembinaannya, dengan peruntukan teknikal disediakan supaya kelima-lima stesen LRT tersebut boleh dibina pada masa hadapan.
  • Kelima-lima stesen tersebut sejak itu telah dimasukkan semula selaras dengan perkembangan semasa. Kerajaan kini telah menganugerahkan kontrak fasa kedua sebanyak RM5.3 bilion untuk kelima-lima stesen ini, penambahan bilangan tren dan lain-lain penaiktaradan. Nilai projek meningkat dari RM16.63 bilion kepada RM21.93 bilion. Jumlah ini masih RM9.72 bilion lebih rendah berbanding dengan kos asal iaitu RM31.65 bilion yang diluluskan semasa pentadbiran Najib.
  • Tarikh sasaran projek LRT3 dilanjutkan dari 2020-2024. Sasaran asal pada tahun 2020 mustahil dicapai kerana hanya 9% projek telah siap menjelang pertengahan 2018. Pelanjutan ini menghapuskan kos pecutan iaitu bayaran premium kepada kontraktor untuk mempercepatkan kerja pembinaan.

Model PDP dimansuhkan, model tersebut wujudkan insentif songsang

Ujar mereka lagi model PDP sudah dimansuhkan. Di bawah model PDP, kontraktor memperoleh bayaran mengikut peratusan daripada jumlah kos projek.

“Semakin tinggi kos projek, semakin tinggi yuran yang diterima. Model ini mewujudkan insentif songsang kepada PDP untuk meningkatkan nilai projek.

“Model PDP tersebut telah ditukar kepada Kontrak Harga Tetap, sekali gus memastikan tiada lebihan kos kepada kerajaan,” katanya.

Kos projek LRT3 dapat jimat melebihi RM9.27 bilion, kerajaan dapat jimat sehingga RM10 bilion

Kata Lim Guan Eng dan Tony Pua projek LRT3 itu kini sudah berjaya disiapkan dengan peningkatan dan penambaikan tambahan dilaksanakan sekali gus membolehkan penjimatan kos projek awal melebihi RM9.27 bilion untuk pembayar cukai Malaysia , dengan harga akhir RM21.93 bilion berbanding harga asal RM31.65 bilion yang diluluskan.

Malah mereka mengatakan penjimatan itu memboleh kerajaan semasa dan di masa hadapan memperuntukan semula dana kepada manfaat kebajikan lain untuk rakyat dan perbelanjaan pembangunan.

“Hasil daripada beban hutang projek yang lebih rendah, kerajaan juga dijangka dapat menjimatkan sehingga RM10 bilion lagi dalam kos faedah sepanjang tempoh 25 hingga 30 tahun.

“Kami ingin menegaskan semula bahawa penjimatan kepada Kerajaan Malaysia ini tidak dibuat dengan mengorbankan jumlah penumpang dan fungsi LRT. Penjimatan ini sebaliknya membolehkan kerajaan semasa dan kerajaan di masa hadapan memperuntukan semula dana kepada manfaat kebajikan lain untuk rakyat serta perbelanjaan pembangunan.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi pengharga dan menjunjung kasih atas keprihatinan Tuanku terhadap projek LRT3, yang sebagaimana telah dizahirkan oleh Tuanku, memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas, memendekkan masa perjalanan serta menjadi pemangkin ekonomi kepada pembangunan selangor.”

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved