GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa Kerajaan Persekutuan memulangkan segera kekurangan peruntukan berjumlah RM2.8 bilion kepada Pulau Pinang bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, negeri itu terus menerima layanan tidak adil walaupun menjadi antara penyumbang terbesar hasil kepada kerajaan.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu merangka satu formula agihan peruntukan yang lebih adil kepada semua negeri selaras dengan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang seperti yang dijamin Perlembagaan.
"Berdasarkan data yang dibentangkan Anwar di Parlimen pada Selasa, Pulau Pinang menyumbang purata RM10.7 bilion kepada kerajaan Persekutuan bagi tempoh 2023 hingga 2025, namun hanya menerima peruntukan RM7.9 bilion.
“Ini bermakna terdapat kekurangan peruntukan sebanyak RM2.8 bilion yang perlu dipulangkan kepada Pulau Pinang supaya rakyat negeri ini tidak terus dianaktirikan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Guan Eng, Selangor dan Pulau Pinang merupakan dua negeri di Semenanjung yang menerima peruntukan lebih rendah berbanding jumlah sumbangan mereka kepada Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, berdasarkan angka yang dikemukakan di Parlimen, Selangor menyumbang RM43.6 bilion dan menerima RM15 bilion manakala Johor menyumbang RM14 bilion serta menerima RM16 bilion.
"Kedah pula menyumbang RM3.7 bilion tetapi menerima RM9.5 bilion daripada kerajaan Persekutuan," ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan rasional Pulau Pinang menerima peruntukan lebih rendah daripada Kedah sedangkan sumbangan negeri itu kepada Kerajaan Persekutuan adalah jauh lebih tinggi.
“Tiada sebarang justifikasi mengapa Pulau Pinang menerima RM7.9 bilion sedangkan Kedah menerima RM9.5 bilion walaupun hanya menyumbang RM3.7 bilion,” katanya.
Dalam pada itu, Guan Eng menambah, kerajaan juga perlu menghargai sokongan kira-kira 1.8 juta rakyat Pulau Pinang terhadap Anwar dan Kerajaan Perpaduan dengan memulangkan kekurangan peruntukan sebanyak RM2.8 bilion bagi tempoh tiga tahun berkenaan.
Menurutnya, kegagalan berbuat demikian hanya akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Pulau Pinang yang mungkin beranggapan sokongan mereka terhadap Kerajaan Perpaduan tidak dihargai.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menggesa Anwar merangka satu formula pengagihan peruntukan yang lebih adil bagi memastikan Pulau Pinang tidak terus dianaktirikan berbanding negeri-negeri lain pada masa hadapan.
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menuntut supaya Kerajaan Persekutuan mengembalikan 25 hingga 30 peratus hasil cukai negeri kepada Johor.
Tuntutan ini dibuat berikutan sumbangan Johor yang mencecah lebih RM40 bilion setahun kepada pusat namun hanya menerima pulangan sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion untuk keperluan rakyat.
Selain Johor, Pahang juga merekodkan kutipan hasil negeri mencecah lebih RM700 juta dalam tempoh kurang enam bulan tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkembangan itu sekali gus meletakkan Pahang pada landasan betul untuk mengulangi kejayaan kutipan lebih RM1 bilion yang direkodkan empat tahun berturut-turut sejak 2022.
Dalam pada itu, Pada 17 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula hak tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.






