Top Glove catat kerugian bersih RM463.15 juta pada 4QFY23 kesan kemerosotan nilai

Business & Finance
6 Oct 2023 • 4:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Top Glove catat kerugian bersih RM463.15 juta pada 4QFY23 kesan kemerosotan nilai

diyana

06/10/2023 - 16:30

KUALA LUMPUR 6 Okt - Top Glove Corp Bhd mencatatkan kerugian bersih suku tahunan terbesarnya sebanyak RM463.15 juta pada suku keempat berakhir 31 Ogos 2023 (4QFY23) bagi suku kelima berturut-turut, berbanding kerugian bersih RM62.99 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu berkata kerugian pada 4QFY23 adalah disebabkan oleh kemerosotan nilai muhibah sebanyak RM138 juta serta kemerosotan nilai dan hapus kira hartanah, kilang dan peralatan sebanyak RM251 juta.

“Tidak termasuk kemerosotan nilai itu, kerugian selepas cukai kumpulan bagi 4QFY23 akan mengecil kepada RM65 juta dan kerugian selepas cukai bagi FY23 sebanyak RM498 juta.

“Kemerosotan nilai tersebut telah diiktiraf susulan pelaksanaan rasionalisasi operasi dan kajian semula aset penjana pendapatan kumpulan untuk mengukuhkan daya saing kosnya,” jelasnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Sementara itu, pendapatan kumpulan bagi 4QFY23 menjunam 51.9% kepada RM475.9 juta daripada RM989.9 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Secara kumulatif, Top Glove telah mencatat kerugian bersih sebanyak RM926.6 juta dalam tahun kewangan 2023 (FY23), kerugian tahunan pertama baginya berbanding keuntungan bersih RM225.6 juta pada tahun sebelumnya.

Manakala pendapatan FY23 kumpulan bernilai RM2.26 bilion, merosot 59% daripada RM5.57 bilion tahun lalu.

Dalam satu kenyataan media, Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan berkata pengumpulan inventori telah berkurang dalam tempoh dua tahun namun penggunaan sarung tangan telah meningkat berikutan tahap kesedaran kebersihan dan kesihatan yang tinggi.

image is not available
Lim Cheong Guan

“Kami percaya prospek jangka pertengahan hingga panjang bagi sektor sarung tangan kekal menjanjikan. Kami sudah melihat peningkatan dalam jumlah jualan bulan ke bulan yang menunjukkan inventori sarung tangan pelanggan kami hampir habis.

“Memandangkan keadaan lebihan bekalan juga terus reda, kami teruja untuk melihat permintaan sarung tangan global meneruskan semula unjuran pertumbuhan 8% hingga 10% setahun,” tambahnya.

Pada pukul 4:27 petang ini, saham Top Glove susut 4 sen atau 5.1% kepada 74.5 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM6.1 bilion. Ia merupakan saham ketiga paling aktif didagangkan di Bursa Malaysia hari ini dengan jumlah dagangan lebih 107 bilion. - DagangNews.com