
Artifak Kenyah Badeng Kembali ke Sarawak Setelah Dirampas Penjajah British
Topi Buluh Kenyah Badeng Pulang Ke Sarawak Selepas Lebih 100 Tahun Di Muzium Oxford. Sebuah topi buluh yang merupakan warisan budaya kaum Kenyah Badeng di Sarawak akhirnya pulang ke tanah air selepas lebih satu abad tersimpan di Muzium Pitt Rivers di Oxford, United Kingdom.
Artifak bersejarah ini telah dirampas daripada masyarakat Kenyah Badeng oleh penjajah British ketika ekspedisi peperangan pada tahun 1895 dan 1896. Artifak ini kemudiannya diperoleh oleh Muzium Pitt Rivers pada tahun 1923, namun tidak pernah dipamerkan kepada umum sepanjang tempoh ia disimpan di sana.

Warisan Borneo yang Dirampas Kembali ke Tanah Air Selepas 100 Tahun
Pengarah Muzium Pitt Rivers, Profesor Dr. Laura Van Broekhoven, menyatakan beliau berbesar hati kerana topi berkenaan akhirnya kembali ke tempat asalnya. “Melihat kepada sejarah sebahagian koleksi kami yang terlibat dalam keganasan dan penindasan ketenteraan, usaha untuk mengembalikan artifak ini adalah langkah penting bagi memulihkan kepercayaan serta membina harapan untuk masa depan yang lebih aman melalui kerjasama,” ujar beliau.
Lapor BBC, majlis penyerahan rasmi topi buluh ini kepada masyarakat Kenyah Badeng berlangsung pada pagi Isnin, di mana buat kali pertama muzium tersebut mengembalikan item budaya kepada komuniti peribumi. Sebelum ini, mereka hanya pernah memulangkan sisa-sisa jasad nenek moyang kepada kaum-kaum asal yang terlibat.
Sarawak, kini sebahagian daripada Malaysia, pernah diperintah sebagai sebuah monarki bebas oleh keluarga Brooke dari Britain, yang dikenali sebagai “Rajah Putih,” antara tahun 1841 hingga 1941. Untuk mengekang penentangan dari masyarakat peribumi, keluarga Brooke sering kali mengarahkan ekspedisi peperangan yang turut melibatkan pembunuhan beramai-ramai termasuk wanita dan kanak-kanak, pembakaran rumah panjang, serta rampasan harta benda.

Topi buluh Kenyah Badeng ini mempunyai reka bentuk berunsur manusia yang dipercayai berfungsi sebagai perlindungan fizikal dan spiritual, khususnya untuk ibu dan anak kecilnya. Topi ini merupakan salah satu daripada kira-kira 3,000 artifak dari Borneo yang disimpan oleh Muzium Pitt Rivers, di mana kebanyakannya diperoleh daripada koleksi peribadi keluarga Brooke pada awal 1920-an.
Kini, hak milik topi berkenaan telah diserahkan kepada Persatuan Kenyah Badeng dan akan dipamerkan di Borneo Cultures Museum di Kuching, iaitu muzium terbesar di Sarawak, untuk tatapan masyarakat tempatan serta generasi akan datang.


