
Juara dunia berganda World Superbike (WSBK), Toprak Razgatlioglu, sekali lagi mencuri perhatian apabila mempamerkan aksi luar biasa di Circuit of the Americas (COTA), Texas. Dalam sesi latihan santai bersama Alpha Racing, bintang Turki itu menunggang BMW M1000RR spesifikasi Superstock, namun berjaya mencatat masa lebih laju berbanding jentera MotoAmerica Superbike!
Toprak, yang kini hampir pasti menuju kejuaraan dunia WSBK ketiganya pada 2025 dan musim kedua bersama BMW, merekodkan 2 minit 06.790 saat. Catatan ini mengatasi masa 2:07.078s milik Cameron Beaubier yang dicatat ketika sesi kelayakan MotoAmerica di litar sama. Beaubier, yang turut menunggang BMW dalam siri tersebut, sempat berseloroh di Instagram: “Goodness, dude, go away”.
Lebih menarik, ini adalah kunjungan pertama Toprak ke COTA, iaitu gelanggang rasmi MotoGP Amerika Syarikat. Aksinya yang begitu dominan membuatkan bekas pelumba WSBK dan MotoGP, Marco Melandri, menggelarnya sebagai “the king”.
Dengan baki tiga pusingan musim ini, Toprak mendahului saingan kejuaraan dengan 39 mata ke atas pelumba Ducati, Nicolo Bulega. Sejak pusingan di Misano pertengahan Jun, dia belum pernah ditewaskan, merekodkan 18 kemenangan daripada 27 perlumbaan dan tidak pernah menamatkan perlumbaan di luar dua terbaik.
Selepas berakhirnya musim WSBK, tumpuan akan beralih kepada debut MotoGP bersama Pramac Yamaha. Toprak dijadualkan menjalani ujian peribadi dengan Yamaha sebelum kemunculan sulungnya di ujian pasca perlumbaan Valencia, November ini, di mana beliau akan bergandingan dengan Jack Miller pada 2026.
Bintang Turki itu sekali lagi membuktikan, walaupun hanya dengan jentera stock, bakat dan gayanya yang unik menjadikannya antara pelumba dua roda paling luar biasa dalam generasinya.
Teruskan bersama Two Wheels..!
BMW
The post Toprak Razgatlioglu Lebih Laju Dari MotoAmerica di COTA Hanya Dengan Jentera Superstock! appeared first on TW Media.
