TotalEnergies, MK Land peroleh pembiayaan projek ladang solar RM145 juta di Kedah daripada BNP Paribas

LocalBusiness & Finance
13 May 2026 • 9:27 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TotalEnergies, MK Land peroleh pembiayaan projek ladang solar RM145 juta di Kedah daripada BNP Paribas Image from: TotalEnergies, MK Land peroleh pembiayaan projek ladang solar RM145 juta di Kedah daripada BNP Paribas johardy13/05/2026 - 09:27 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Mei - Gergasi tenaga global, TotalEnergies bersama M K Land Holdings Berhad secara rasmi mencapai `penutupan kewangan' bagi projek ladang solar berkapasiti 30 megawatt arus ulang-alik (MWac) di Kulim, Kedah, sekali gus membuka laluan kepada permulaan pembinaan projek tenaga boleh baharu bernilai kira-kira RM145 juta itu.

 

Projek yang dijadual memulakan operasi komersial pada suku ketiga 2027 itu dilihat sebagai antara inisiatif tenaga hijau strategik yang semakin mendapat perhatian syarikat teknologi dan industri utama di Malaysia ketika permintaan terhadap elektrik rendah karbon meningkat mendadak.

 

Di bawah projek tersebut, keseluruhan tenaga elektrik yang dijana akan dijual menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) jangka panjang selama 21 tahun kepada pemain teknologi dan industri utama di negara ini.

 

Perkembangan itu mengukuhkan lagi momentum Malaysia sebagai hab tenaga hijau serantau, khususnya dalam menarik pelaburan pusat data, semikonduktor dan industri teknologi tinggi yang kini semakin agresif mengejar sasaran penyahkarbonan global.

 

Projek solar itu dianugerahkan oleh Suruhanjaya Tenaga pada Ogos 2023 menerusi Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) kepada TotalEnergies yang memegang 49% kepentingan dan Solar Citra Sdn. Bhd., subsidiari M K Land yang memiliki baki 51%.

 

Dengan pengeluaran Notis Untuk Mula Kerja (Notice to Proceed), pembinaan projek kini akan dimulakan secara rasmi.

 

Ladang solar tersebut akan dibangunkan di kawasan seluas 115 ekar dengan pemasangan kira-kira 80,000 panel fotovoltaik selain pembangunan pencawang baharu 132kV loop-in-loop-out (LILO) bagi memperkukuh rangkaian sambungan grid nasional.


 

Gregory Thomassin

 


Menurut Ketua Pembangunan Perniagaan Tenaga Boleh Baharu Asia Pasifik TotalEnergies, Gregory Thomassin (gambar atas), pencapaian penutupan kewangan itu menjadi langkah penting dalam memperluas portfolio tenaga hijau syarikat di Malaysia dan Asia.

 

“Dengan memanfaatkan kedudukan kukuh kami dalam sektor huluan di Malaysia serta usaha sama 50:50 bersama Masdar di Asia yang bakal dimuktamadkan, kami mahu menyumbang kepada agenda penyahkarbonan negara.

 

“Projek ini juga mencerminkan strategi TotalEnergies untuk membekalkan penyelesaian tenaga boleh baharu yang disesuaikan kepada pelanggan teknologi dan industri utama,” katanya.

 

Kemudahan pembiayaan projek tersebut disusun oleh BNP Paribas Malaysia Berhad sebagai pemberi pinjaman tunggal mandat utama.

 

TotalEnergies yang telah beroperasi di Malaysia sejak 1985 kini merupakan pengendali gas ketiga terbesar negara selepas pengambilalihan SapuraOMV Upstream.

 

Kumpulan itu juga memiliki kepentingan dalam 18 blok luar pesisir di Sarawak dan Sabah selain aktif dalam pembangunan projek pemerangkapan karbon dan tenaga boleh baharu hibrid.

 

Dalam perkembangan berkaitan, syarikat tersebut sebelum ini turut menandatangani kerjasama dengan PETRONAS dan Mitsui & Co. bagi membangunkan projek penyimpanan karbon di Asia Tenggara. - DagangNews.com

Terkini featured standard