TourScape@Selangor tawar pengalaman road trip ke 12 destinasi pelancongan

LocalTravel
1 Aug 2026 • 9:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

TourScape@Selangor tawar pengalaman road trip ke 12 destinasi pelancongan

SERDANG, 1 OGOS: Tourism Selangor memperkenalkan TourScape@Selangor, inisiatif baharu yang menawarkan pengalaman kembara jalan raya (road trip) merentasi 12 lokasi pelancongan terpilih di seluruh negeri.

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata, inisiatif yang dilancarkan sempena Festival Art of Speed Malaysia Ke-15 itu menggabungkan elemen automotif, pengembaraan dan pelancongan bagi menggalakkan lebih ramai pelawat meneroka tarikan di setiap daerah di Selangor.

Menurutnya, TourScape@Selangor bukan sekadar menawarkan pengalaman perjalanan, malah memberi peluang kepada pengunjung mengenali destinasi tersembunyi, menikmati makanan tempatan serta menghayati budaya dan warisan unik yang terdapat di setiap daerah.

Image from: TourScape@Selangor tawar pengalaman road trip ke 12 destinasi pelancongan
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim meninjau ruang pameran selepas merasmikan Festival Art of Speed Malaysia 2026 Kali Ke-15 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada 1 Ogos 2026. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

“Kita akan kembangkan ke semua daerah di Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Ini dapat menarik kepada pelancong yang ramai sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2026,” katanya ditemui pada Festival Art Of Speed Malaysia Kali Ke-15 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Terdahulu, TourScape@Selangor sempena Festival Art Of Speed Malaysia Kali Ke-15 dilancarkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan turut menjadi sebahagian daripada usaha memperluas tawaran pelancongan Selangor dengan mewujudkan pengalaman baharu yang menghubungkan komuniti, destinasi dan produk tempatan.

Image from: TourScape@Selangor tawar pengalaman road trip ke 12 destinasi pelancongan
Antara orang ramai yang hadir sempena Festival Art of Speed Malaysia Kali Ke-15 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada 1 Ogos 2026. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

Melalui konsep Road Trip Fun Maps, pengunjung berpeluang meneroka laluan dari Sepang hingga Sabak Bernam dengan setiap daerah menawarkan pengalaman berbeza termasuk tarikan pelancongan, gastronomi serta identiti budaya tersendiri.

TourScape@Selangor dijangka menjadi salah satu produk sokongan bagi membantu negeri mencapai sasaran sembilan juta pelancong pada tahun ini menerusi promosi pengalaman pelancongan yang lebih pelbagai dan inklusif.

Sebelum ini, Suee Lim berkata Tourism Selangor giat menganjurkan pelbagai program sepanjang baki empat bulan Tahun Melawat Selangor 2026 bagi mencapai sasaran sembilan juta pelancong ke negeri itu.

Antaranya Selangor Travel Fair 2026 menjadi antara platform utama untuk memperkukuh promosi pelancongan, sekali gus mengetengahkan kepelbagaian produk serta pengalaman menarik yang ditawarkan di Selangor.

Image from: TourScape@Selangor tawar pengalaman road trip ke 12 destinasi pelancongan
Antara orang ramai yang hadir sempena Festival Art of Speed Malaysia Kali Ke-15 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada 1 Ogos 2026. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved