TP-Link dan UniSHAMS jalin kerjasama tiga tahun perkukuh bakat teknologi industri Malaysia

LocalTechnology
14 Oct 2026 • 3:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TP-Link dan UniSHAMS jalin kerjasama tiga tahun perkukuh bakat teknologi industri Malaysia Image from: TP-Link dan UniSHAMS jalin kerjasama tiga tahun perkukuh bakat teknologi industri Malaysia amree14/10/2026 - 15:50 NAIB Presiden TP-Link Asia Pasifik, Brian Dong (dua dari kiri) dan Mohd Amy Azhar Mohd Harif (dua dari kanan) berjabat tangan disaksikan Hugo Cai (kiri) dan Timbalan Naib Canselor Pembangunan, Penyelidikan dan Inovasi UniSHAMS, Prof Dr Ahmad Rozelan Yunus (kanan). Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Okt – Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) bakal menikmati banyak peluang pengalaman industri dan kemahiran teknologi menerusi kerjasama tiga tahun dengan TP-Link Distribution Malaysia Sdn Bhd (TP-Link Malaysia).

 

Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) bagi merapatkan lagi jurang antara pembelajaran akademik dengan keperluan sebenar industri teknologi semasa, sekali gus membantu dalam melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran untuk menyokong perkembangan digital negara.

 

Menurut kenyataan bersama, pelajar UniSHAMS menerusi kerjasama terbaharu berkenaan, akan mendapat pendedahan industri melalui aktiviti bengkel, kursus jangka pendek dan peluang latihan industri bagi melengkapkan pengetahuan yang sudah dipelajari di dalam bilik kuliah masing-masing.

 

"Selain usaha pembangunan kemahiran pelajar, kerjasama dijalin tersebut turut membuka ruang yang luas kepada TP-Link Malaysia dan UniSHAMS untuk dapat menggabungkan kepakaran industri serta akademik bagi menyokong penyelidikan dalam bidang berkepentingan bersama," jelasnya.

 

Pengarah Serantau TP-Link Malaysia, Cai Zhenbiao atau Hugo Cai berkata, pembangunan bakat teknologi melibatkan pelajar universiti pada skala besar memerlukan kerjasama berterusan antara pelbagai institusi bagi memastikan pendidikan seiring dengan perkembangan teknologi sebenar.

 

Menurut beliau lagi, penyertaan UniSHAMS dalam rangkaian universiti yang menjalin kerjasama dengan TP-Link Malaysia dijangka dapat memperkukuh hubungan industri-akademia serta membantu menyediakan bakat teknologi yang diperlukan Malaysia pada masa hadapan.

 

TP Link_DagangNews2026

 

Naib Canselor UniSHAMS, Prof Dr Mohd Amy Azhar Mohd Harif pula berkata, kerjasama itu membolehkan pengalaman pembelajaran diperluas di luar bilik kuliah, selain membuka peluang kepada pelajar dan ahli akademik berinteraksi dengan industri serta menyumbang kepada penyelidikan bermakna.

 

"Graduan pada masa ini bukan sahaja perlu memenuhi keperluan industri semasa, malah mereka wajar memiliki keupayaan untuk terus belajar, di samping menyesuaikan diri dan menangani cabaran apabila teknologi baharu terus berkembang di seluruh dunia," katanya.

 

Dalam pada itu, kerjasama berkenaan turut memperluas akses pelajar kepada teknologi rangkaian perusahaan Omada, termasuk laluan pensijilan Omada Certified Network Associate (OCNA), yang memberi pendedahan kepada kemahiran profesional berkaitan rangkaian komputer.

 

Inisiatif tersebut jelas beliau, dijangka mampu membantu pelajar untuk membina pengetahuan teknikal dan meningkatkan kesiapsiagaan mereka sebelum memasuki pasaran kerja sebenar, khususnya dalam bidang rangkaian dan teknologi digital.

 

TP-Link Malaysia menyasarkan untuk terus memperluas kerjasama dengan institusi pendidikan bagi memperkukuh hubungan industri-akademia dan membina asas pembangunan generasi profesional teknologi seterusnya di Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved