TPM Fadillah: Abdul Taib tinggalkan begitu banyak jasa kepada Sarawak

LocalPolitics
21 Feb 2024 • 5:42 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SUBANG: Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia awal pagi tadi telah meletakkan asas penting untuk negeri Sarawak, merangkumi semua aspek termasuk kestabilan politik, perpaduan, pembangunan dan ekonomi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata semua peringkat kepimpinan dan rakyat terkesan dengan pemergian Allahyarham yang begitu berjasa, bukan sahaja kepada negeri Sarawak, tetapi seluruh negara.

“Begitu banyak jasa Allahyarham kepada Sarawak dalam segala aspek pembangunan, dan melalui politik beliau menyatukan rakyat Sarawak, memperjuang nasib untuk inklusif Sarawak itu sendiri.

“Kalau saya nak sebut begitu banyak, tapi dari segi perjuangan politik, ia berkenaan perpaduan dan juga bagaimana meningkatkan daya upaya rakyat Sarawak dari segi ilmu, kemahiran dan semangat juang,“ katanya ketika ditemui di Pangkalan Tentera Udara Subang hari ini.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya bekata beliau sendiri mendapat didikan dan asuhan daripada Allahyarham yang juga merupakan bekas Ketua Menteri yang menerajui kepimpinan negeri Sarawak selama 33 tahun.

“Banyak asuhan, didikan dan pesanan tentang bagaimana kita nak memperjuangkan Sarawak dan memperjuang negara kita supaya menjadi maju dan rakyat dapat hidup bersatu padu dan harmoni,“ katanya dengan nada sebak.

Terdahulu, jenazah selamat diterbangkan dari Pangkalan Tentera Udara Subang pada 1.58 tengah hari untuk dibawa pulang ke Kuching, Sarawak.

Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi ini dan pengurusan jenazah Allahyarham dilakukan di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Jenazah akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak esok dan orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir mulai 8 pagi hingga 11.30 pagi.

Selepas itu, jenazah akan dibawa ke Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan istiadat pengebumian negeri di Demak Jaya. -Bernama