
KOTA KINABALU: Pendekatan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperluas akses pendidikan melalui pelbagai bentuk bantuan dilihat sebagai langkah tepat dalam meringankan beban keluarga khususnya golongan miskin dan B40 bagi memastikan anak mereka dapat meneruskan pengajian.
Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tambunan Datuk Victor P Paut berkata pendekatan itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri menyediakan sokongan pendidikan yang bukan hanya tertumpu kepada satu bentuk bantuan sebaliknya merangkumi pelbagai keperluan pelajar.
Menurutnya penubuhan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) adalah antara inisiatif yang tepat kerana menyediakan ruang kepada lebih ramai anak Sabah mendapatkan bantuan bagi meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan keluarga.
“Bagi saya ini adalah inisiatif yang tepat kerana pendidikan adalah pelaburan untuk masa depan Sabah. Kita mahu anak-anak kita khususnya keluarga miskin dan B40 mempunyai peluang sama untuk melanjutkan pelajaran dan membina masa depan.
“Lihat saja bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, seramai 11,383 pelajar dari seluruh Sabah menerima manfaat TPNS membabitkan bantuan berjumlah RM15.89 juta sekaligus menunjukkan skala bantuan pendidikan negeri yang semakin diperluaskan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengenai pencapaian TPNS yang sejak dilancarkan pada 2 Jun 2022 telah menyalurkan RM40 juta bantuan dan memberi manfaat secara langsung kepada 27,781 pelajar di seluruh Sabah.




