Wanita UMNO ajak ‘ringankan beban’ Najib, kumpul RM50 juta bayar denda

LocalPolitics
18 Sep 2026 • 3:22 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Wanita UMNO ajak ‘ringankan beban’ Najib, kumpul RM50 juta bayar denda

PETALING JAYA – Wanita UMNO Malaysia menyeru ahlinya untuk ‘meringankan beban’ Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menyumbang kepada tabung bagi membantu bekas Perdana Menteri itu melunaskan denda RM50 juta.

Seruan itu dibuat Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Menurut kenyataan Wanita UMNO, sayap parti itu menyokong penuh inisiatif diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melancarkan tabung sumbangan bagi tujuan berkenaan.

“Saya menyeru seluruh kepimpinan dan ahli Wanita UMNO di semua peringkat untuk bersama-sama meringankan beban Datuk Seri Najib dan keluarga.

“Sumbangan boleh dibuat secara sukarela mengikut kemampuan melalui saluran rasmi yang akan diumumkan oleh parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wanita UMNO turut menyifatkan keputusan membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sebagai satu perkembangan yang membawa kelegaan besar kepada bekas Presiden UMNO itu, keluarganya dan parti.

Bagaimanapun, pembayaran denda RM50 juta itu merupakan antara syarat yang ditetapkan bagi pengampunan bersyarat berkenaan.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Najib dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 dengan syarat denda tersebut dibayar.

Sekiranya mana-mana syarat ditetapkan tidak dipatuhi, pengampunan bersyarat itu terbatal dan Najib perlu kembali menjalani baki hukuman di penjara.

Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas disabitkan atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.

Pada 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Hari ini, pengampunan bersyarat diperkenankan bagi membolehkan Najib menjalani baki hukumannya di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

The post Wanita UMNO ajak ‘ringankan beban’ Najib, kumpul RM50 juta bayar denda appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved