Tradisi Bertuntung Tetap 'Menyala' Di Sebalik Pemodenan

8 Apr 2024 • 12:31 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seorang remaja menyalakan bunga api menggunakan lampu pelita minyak tanah yang menghiasi rumahnya bagi memeriahkan lagi suasana menjelang Aidilfiti. gambar BERNAMA

KUCHING - Tradisi Bertuntung atau menghias rumah menggunakan lampu pelita minyak tanah menjelang sambutan Aidilfitri masih terus diamalkan komuniti masyarakat Melayu di Sarawak sehingga hari ini.

Tinjauan BERNAMA di Kampung Nombor di sini, mendapati lampu pelita masih menjadi pilihan dengan hampir kesemua rumah di kawasan itu memilih untuk menampilkan kombinasi kedua-dua lampu pelita serta elektrik.

image is not available

Malah, lebih menarik, terdapat juga rumah yang turut menampilkan pelbagai struktur seperti pintu gerbang yang dilengkapi lampu di pintu masuk kediaman mereka.

Bagi Zulaikha Ramzi, 35, walaupun berdepan arus pemodenan yang menawarkan pelbagai pilihan lampu elektrik yang lebih menarik dan berwarna-warni, lampu pelita tetap mempunyai keunikan tersendiri.

Katanya, beliau membelanjakan kira-kira RM1,000 untuk membeli pelbagai lampu termasuk pelita untuk menghias rumah milik keluarganya yang turut menampilkan sebuah pondok foto.

image is not available
Ahli keluarga Zulaikha Ramzi menunjukkan plak dan hadiah yang dimenangi selama dua tahun berturut-turut dari tahun 2022 hingga 2023 pada Program Pertandingan Bertuntung di Kuching.

"Ini tradisi keluarga kami sejak dulu lagi dan kita akan pasang lampu ini 10 hari sebelum sambutan Aidilfitri sehingga Raya Haji nanti.

"Walaupun kos elektrik tinggi, sebagai contoh tahun lalu kami bayar kira-kira RM800 untuk bil elektrik berbanding biasanya dalam RM300, namun ini satu tradisi keluarga yang perlu kita teruskan," katanya ketika ditemui BERNAMA.

image is not available

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Kejiranan Mesra (KJM) Kampung Nombor tiga dan empat, Sahari Bordi, 53, berkata pada tahun ini sebanyak 17 rumah menyertai pertandingan Bertuntung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok.

Beliau berkata, pertandingan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu menyediakan hadiah bernilai RM300 hingga RM500 untuk pemenang. - BERNAMA