
Tradisi kejut sahur dari Indonesia guna kompang jadi trend di Tawau, meriah atau mengganggu?
Tradisi Kejut Sahur Guna Kompang Makin Popular Di Tawau, Tapi Ramai Kurang Senang. Setiap kali Ramadan, suasana di Indonesia sering dimeriahkan dengan tradisi kejut sahur secara beramai-ramai, lengkap dengan paluan kompang dan nyanyian bagi mengejutkan masyarakat setempat untuk bersahur.
Menerusi perkongsian di laman Facebook baru-baru ini, budaya ini nampaknya semakin menular ke Tawau, Sabah, di mana sekumpulan lelaki dirakam melakukan aktiviti sama, siap dengan gendang dan gitar.

Walaupun meriah dan menghidupkan suasana Ramadan, tidak semua penduduk Tawau menyambut baik tradisi ini. Malah, ramai yang beranggapan ia hanya mengganggu ketenteraman awam dan tidak perlu dibawa masuk ke Sabah.
“Kenapa Perlu Ikut Budaya Luar?”
Dalam ruangan komen, netizen rata-rata kurang bersetuju dengan budaya ini yang dianggap sebagai ‘trend’ dari Indonesia.
“Bila masa ada tradisi ini? Dulu tiada pun guna pembesar suara kejut sahur guna kompang. Jangan bawa masuk budaya luar ke sini,” ujar seorang pengguna Facebook.
“Ini tradisi Indonesia. Dah ramai anak-anak warga Indonesia di Sabah, jadi budaya mereka pun terbawa-bawa ke sini,” kata seorang lagi.
“Apabila warga asing mendominasi Pantai Timur Sabah, budaya seperti ini mula diikuti. Mengarut.
Bagi mereka, aktiviti seumpama ini bukan saja tidak relevan di Malaysia, malah berpotensi mengganggu ketenteraman awam, terutamanya pada waktu awal pagi.
Mufti Kelantan: Tidak Salah, Tapi Jangan Sampai Mengganggu
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berpendapat tradisi ini tidak perlu ditolak atau diterima secara mutlak, sebaliknya bergantung kepada situasi.
Menurutnya, selagi tidak menimbulkan gangguan, ia boleh dianggap sebagai cara untuk menghidupkan suasana Ramadan.
“Kalau mengganggu, boleh menimbulkan ketidaktenteraman, jadi tidak bolehlah. Tapi kalau sekadar mengajak orang bangun sahur tanpa memudaratkan sesiapa, tidak menjadi masalah,” katanya, menurut laporan media tempatan.
Beliau turut berkongsi pengalamannya di Mesir, di mana penduduk setempat menggunakan alat muzik kecil seperti gendang buluh untuk mengejutkan orang bangun bersahur sekitar jam 3.30 pagi.
Tambahnya lagi, ada perkara lain yang lebih mengganggu ketenteraman seperti mercun dan bunga api, tetapi tidak mendapat kecaman sehebat ini.
Patut Diteruskan Atau Dihentikan?
Perdebatan tentang tradisi ini menunjukkan wujudnya jurang pendapat antara mereka yang ingin mengekalkan keaslian budaya tempatan dengan mereka yang lebih terbuka menerima budaya luar.
Adakah tradisi ini akan terus berkembang di Tawau, atau ia akan dihentikan kerana dianggap mengganggu? Yang pasti, Ramadan akan terus menjadi bulan yang penuh warna-warni dengan pelbagai cara masyarakat meraikannya.
Baca juga artikel yang pernah kami terbitkan mengenai bagarakan sahur, tradisi bangunkan sahur ala Banjar di Kalimantan Selatan:


![“Kali Ini Tak Terlepas” – Lelaki Didakwa Kantoi Cuba Tipu Bayaran Guna Kod QR Di Kedai Burger [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/business-and-finance.jpeg)

