GOMBAK - Aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak arah Pantai Timur mula bergerak perlahan menghampiri Plaza Tol Gombak di sini pada Rabu.
Tinjauan Sinar Harian mendapati peningkatan jumlah kenderaan bermula sejak jam 2 petang, berikutan warga kota pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.
Namun keadaan trafik dilihat masih terkawal apabila pergerakan beransur lancar selepas plaza tol tersebut.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan setakat jam 2.12 petang, trafik bergerak perlahan dari Kilometer 30.5 Gombak ke Genting Sempah, Kilometer 39.4 Genting Sempah ke Bukit Tinggi serta dari kawasan Shell Bentong ke Bentong arah timur.
Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara melibatkan kawasan Terowong Menora ke Sungai Perak juga perlahan selain Juru Auto City ke Perai serta Seberang Jaya ke Plaza Tol Sungai Dua.
Bagi laluan Lebuhraya Utara-Selatan (E2), trafik perlahan turut dilaporkan di beberapa lokasi termasuk dari Pasir Gudang ke Setia Tropika, Sedenak ke Simpang Renggam serta selepas Plaza Tol Sungai Besi ke Taman Teknologi Malaysia bagi arah utara, manakala arah selatan melibatkan laluan dari Dato’ Onn ke Pasir Gudang.
Selain itu, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) turut mencatatkan aliran perlahan dari USJ ke Ebor arah utara serta Putra Heights ke Bandar Saujana Putra arah selatan.
Keadaan sama turut dilaporkan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 melibatkan laluan Rehat dan Rawat Perasing ke Cheneh arah timur.
Sehubungan itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dengan merujuk jadual cadangan waktu perjalanan atau Travel Time Advisory yang dikeluarkan oleh syarikat konsesi lebuh raya.
Pengguna juga diingatkan agar sentiasa mematuhi had laju ditetapkan dan tidak menjadikan lebuh raya sebagai litar lumba demi keselamatan semua pihak.

