Pelan Iran ranap harapan AS untuk capai perjanjian di Selat Hormuz

WorldPolitics
8 Aug 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pelan Iran ranap harapan AS untuk capai perjanjian di Selat Hormuz

TEHERAN: Perjanjian antara Ame­rika Syarikat (AS) dan Iran yang dikatakan bakal dicapai pada Selasa atau Rabu lalu tidak menjadi kenyataan selepas Washington menolak cadangan Teheran untuk melaksanakan se­katan terhadap kapal AS-Israel daripada melalui Selat Hormuz.

Cadangan berkenaan antara perkara yang sedang dipertimbangkan dalam rangka pelan Iran bagi mengurus laluan perairan strategik itu, termasuk melarang kapal AS, Israel dan negara yang dianggap bermusuh dengan Teheran daripada melaluinya.

Washington bagaimanapun menegaskan Selat Hormuz adalah laluan perairan antarabangsa dan tiada mana-mana pihak berhak mengawal laluan atau mengenakan sekatan.

AS dilihat segera menolak terma itu, yang muncul selepas Presiden Donald Trump dan Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent mendakwa perjanjian antara AS serta Iran mungkin dicapai pada Selasa atau Rabu.

“Sebarang laluan sementara tidak akan dikenakan sebarang halangan, bermakna tiada kelulusan atau kebenaran diperlukan serta tiada tol atau caj dikenakan.

“Selat Hormuz adalah laluan perairan antarabangsa dan tiada mana-mana pihak mengawal laluan atau hak untuk mela­luinya,” kata seorang pegawai AS kepada CNBC.

Agensi berita Fars yang memetik seorang anggota Parlimen Iran melaporkan, pelan tersebut turut akan melarang kapal berkaitan Israel dan kargo dari negara berkenaan.

Sekatan itu akan diperluaskan kepada negara dan individu yang menyebabkan kerosakan terhadap Iran sehingga kerugian berkenaan diberikan pampasan, lapor Fars.

Menurut Fars, Iran merancang mengenakan penalti sehingga 20 peratus daripada nilai kargo terhadap pihak melanggar terma perjanjian yang kini sedang diteliti.

Sebelum ini, pegawai serantau berkata, Iran dan Oman hampir memuktamadkan perjanjian berkaitan pelayaran me­lalui selat tersebut, ketika Teheran dan AS memberi isyarat perjanjian akan diumumkan tidak lama lagi.

Seorang pegawai kerajaan Iran berkata, pelayaran melalui selat itu tidak akan dikenakan sebarang bayaran atau tol di bawah perjanjian sementara yang dipersetujui Iran dan Oman.

Katanya, perjanjian tersebut merangkumi semua trafik ma­suk melalui perairan wilayah Iran dan trafik keluar melalui laluan yang lebih dekat dengan Oman.

Pegawai yang enggan dinamakan itu berkata, perjanjian itu bertujuan membolehkan rundingan kembali kepada perjanjian gencatan senjata dan memorandum persefahaman yang dipersetujui AS serta Iran pada pertengahan Jun, sekali gus memulakan semula tempoh rundingan selama 60 hari selepas perang berlaku pada 28 Februari lalu.

Sementara itu,  Trump kelmarin ‘tidak mahu mengalah’ dengan berkata, beliau terlibat dalam rundingan untuk membuka semula Selat Hormuz dan membayangkan satu persetujuan mungkin dapat dicapai tidak lama lagi.

Ketika ditanya wartawan di Rumah Putih, Washington sama ada persetujuan untuk membuka semula laluan perairan strategik itu telah dicapai, Trump berkata: “Saya tidak mahu menyatakan bahawa ia sudah dicapai.”

Beliau bagaimanapun menyifatkan keadaan di Selat Hormuz ketika ini sebagai seolah-olah sudah dibuka.

“Ia seolah-olah sudah dibuka sekarang. Kita mempunyai apa yang dipanggil sekatan yang diketuai Tentera Laut AS, dan kita mengawalnya,” katanya.

Kenyataan Washington itu kemudian dianggap sebagai sandiwara oleh Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf yang juga ketua perunding negara itu dalam run­dingan dengan AS.

Beliau  mengkritik apa yang disifatkannya sebagai diplomasi sandiwara yang berulang-ulang oleh Washington, merujuk kepada corak Trump yang mengumumkan serangan sebelum membatalkannya dan kembali mengajak berunding.

Menerusi hantaran di platform X, Ghalibaf menulis: “Se­rangan besar-besaran akan datang (kemudian) tunggu, tidak jadi, mereka mahu berunding. Itulah diplomasi sandiwara yang berulang-ulang.”

Beliau turut menyifatkan penggunaan ugutan, janji yang dimungkiri dan penyebaran be­rita palsu sebagai strategi yang gagal oleh Washington.

 

The post Pelan Iran ranap harapan AS untuk capai perjanjian di Selat Hormuz appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved