Tragedi Batang Kali: Warga Sekolah Adakan Majlis Kenang Mangsa Terkorban

31 Dec 2022 • 3:27 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Detik sedih menyelubungi pelajar dan guru-guru di (SJK) (C) Mun Choong pada majlis memperingati mangsa kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, 16 Disember lalu. - Gambar oleh Abdul Razak Latif

KUALA LUMPUR – Mengebumikan ibu bapa sendiri adalah pengalaman cukup menyedihkan untuk sesiapa sahaja yang bergelar anak.

Situasi sama turut berlaku ke atas murid yang berdepan kematian guru tersayang, akibat terkorban dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, 16 Disember lalu. 

Bagaimanapun, detik sukar itu terpaksa ditempuh warga Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Mun Choong, pada majlis memperingati mangsa kejadian dari sekolah berkenaan yang terkorban dalam tragedi terbabit.

Ia diadakan khas oleh guru, kakitangan, ahli keluarga dan pelajar sekolah terbabit bagi memperingati enam guru, pengusaha dan pekerja kantin serta dua murid terkorban.

image is not available
Murid-murid SJK (C) Mun Choong tidak dapat menahan sebak mengenangkan rakan-rakan dan guru-guru yang terkorban.

image is not available
Majlis memperingati mangsa kejadian itu diadakan khas oleh guru, kakitangan, ahli keluarga dan pelajar sekolah terbabit bagi memperingati enam guru, pengusaha dan pekerja kantin serta dua murid terkorban.

image is not available
Keluarga Nurul Azmani Kamarulzaman, yang turut terkorban dalam kejadian tanah runtuh itu.

Kesemua mangsa adalah antara 26 individu dari SJK(C) Mun Choong, iaitu guru, pelajar, pengusaha dan pekerja kantin, rakan serta keluarga yang menyertai kem persendirian di Father’s Organic Farm terletak di laluan Batang Kali-Genting.

Kejadian tanah runtuh pada awal pagi itu, meragut 31 nyawa daripada 92 peserta yang berada di tapak perkhemahan berkenaan.

Daripada 31 yang meninggal dunia, 13 adalah kanak-kanak.

Pencarian mangsa tertimbus di bawah lumpur mengambil masa sembilan hari akibat kekangan cuaca, sebelum kesemua 31 mayat ditemui, dengan mangsa terakhir dijumpai pada malam Krismas.

image is not available
Pelbagai mesej turut ditampal di papan kenyataan sekolah.

Kira-kira 500 tetamu menghadiri peringatan itu semalam, dengan ramai dalam kalangan mereka menitiskan air mata ketika memberi penghormatan kepada mangsa.

Pelbagai mesej turut ditampal di papan kenyataan sekolah itu bukan sahaja untuk meluahkan kesedihan, tetapi turut memberi kata-kata semangat.

image is not available
Belon turut dilepaskan ke udara.

Pada acara itu, belon turut dilepaskan ke udara sebagai simbolik perpisahan terakhir dan semua tetamu sepakat menyatakan, mangsa yang terkorban kekal dalam ingatan buat selamanya. – The Vibes, 31 Disember 2022