Tragedi Di Lombong Emas, Tanah Runtuh Ragut Sekurang-Kurangnya 100 Nyawa

20 Aug 2026 • 6:55 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Tragedi Di Lombong Emas, Tanah Runtuh Ragut Sekurang-Kurangnya 100 Nyawa

Kejadian tanah runtuh di sebuah lombong emas haram telah mengorbankan sekurang-kurangnya 100 orang di Republik Afrika Tengah berhampiran sempadan Cameroon, lapor AFP.

Kejadian tersebut berlaku di tapak perlombongan Zamboye, kira-kira 50 kilometer dari bandar Baboua, Republik Afrika Tengah.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan sebahagian tanah di kawasan lombong terbuka yang luas itu runtuh dan menimbus orang ramai.

Ratusan pelombong kecil-kecilan dipercayai bekerja di kawasan berkenaan.

Tragedi lombong emas

Beberapa sumber tempatan memaklumkan kira-kira 100 orang maut manakala ramai lagi cedera, sekali gus mencetuskan kecaman daripada pemimpin pembangkang di kedua-dua negara berhubung keadaan perlombongan secara kecil-kecilan.

“Tanah runtuh sepenuhnya dan menimbus orang ramai,” kata seorang pelombong di lokasi, Cedric Mbango kepada AFP sambil menyifatkan kejadian itu sebagai satu malapetaka.

Menurut pendakwa raya Baboua dalam satu kenyataan, tanah runtuh itu dipercayai berpunca daripada keruntuhan beberapa terowong bawah tanah tempat pelombong bekerja.

Siasatan kehakiman turut dibuka berhubung kejadian tersebut.

“Pada peringkat ini, sukar untuk kami menentukan jumlah korban secara rasmi,” kata wakil rakyat Baboua, Laurent Ngon Baba kepada AFP awal Rabu.

Sekurang-kurangnya empat mangsa merupakan rakyat Cameroon, menurut laporan Cameroon Tribune.

Mangsa yang terselamat dibawa ke hospital di Baboua, sementara operasi mencari mangsa diteruskan pada Rabu.

Kejadian tanah runtuh sering berlaku di kawasan perlombongan haram yang beroperasi di luar kawalan kerajaan di Republik Afrika Tengah.

Gabenor wilayah timur Cameroon, Gregoire Mvongo berkata menerusi radio awam CRTV bahawa pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa di Republik Afrika Tengah untuk menangani kesan tragedi ini.

Sementara itu, Presiden Movement for the Liberation of the Centrafrican People, Martin Ziguele berkata kerajaan bertanggungjawab secara langsung susulan berlakunya tragedi seperti ini.

Pemimpin pembangkang Cameroon, Maurice Kamto pula berkata kejadian tersebut memperlihatkan sikap tidak berperikemanusiaan mereka yang mengaut kekayaan daripada eksploitasi mineral secara haram.

“Mereka langsung tidak mempedulikan keadaan rakyat yang terpaksa bekerja di tapak perlombongan tidak terkawal akibat kemiskinan, tanpa sebarang langkah keselamatan,” kata Kamto.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved