Tragedi Dihempap Pokok Di Kok Lanas: Keluarga Mangsa Boleh Saman PBT & Jabatan Kerja Raya

7 Aug 2023 • 1:23 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Pada Sabtu lepas (5 Ogos), rata-rata netizen sedih membaca berita mengenai tragedi menimpa tiga sekeluarga yang maut dalam kejadian pokok menghempap dua kenderaan di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas, Kelantan.

Dua mangsa dilaporkan cedera dan lima lagi selamat, manakala mangsa yang maut di tempat kejadian pula dikenalpasti iaitu pasangan suami isteri, Nik Mohd Zulmi Ramli, 44, dan Nik Amirah Ab Rahman, 40, serta anak bongsu mereka, Nik Aishah Azzahra, 5, lapor Berita Harian.

image is not available

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.04 malam itu dikatakan terjadi apabila Nissan Sentra yang dinaiki mangsa sedang melalui kawasan tersebut dari arah Machang ke Kota Bharu.

Ketika mangsa sedang memotong keretanya, tiba-tiba tanpa sebarang bunyi, sebatang pokok menghempap tepat bahagian depan kereta Nissan Sentra, manakala kereta sebuah lagi mangsa dihempap bahagian belakang.

image is not available

Lebih menyedihkan, Nik Amirah juga dilaporkan sedang hamil ketika kejadian berlaku dan pihak bomba mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk mengeluarkan mangsa.

Keluarga mangsa boleh ambil tindakan undang-undang

Susulan kejadian tersebut, peguam kanan, Muhammad Hasif Hasan berkata, keluarga mangsa yang maut akibat dihempap pokok dalam kejadian ribut malam Sabtu lepas, boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR), lapor Harian Metro.

Ia katanya boleh dilakukan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 iaitu salah satu undang-undang yang membabitkan pengurusan PBT.

image is not available

Untuk kes berkenaan, keluarga mangsa boleh mengambil tindakan terhadap dua pihak iaitu PBT dan JKR.

“Ia membabitkan JKR sekiranya kedudukan pokok berkenaan berada dalam kawasan simpanan jalan jabatan berkenaan.

“Manakala tugas PBT pula adalah menyelia dan menyelenggara pokok berkenaan supaya berada dalam keadaan selamat dan tidak membahayakan orang ramai,” katanya.

Kata Muhammad Hasif lagi, dia mengambil contoh dari satu kes yang hampir sama apabila seorang lelaki memfailkan saman terhadap Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 2014 lalu.

Lelaki itu memfailkan saman susulan kemalangan jalan raya pada 2010 yang mana sebatang pokok atau dahan jatuh menghempap mangsa ketika menunggang motosikal.

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.