Tragedi Double Six: Laporan Akhir Sahkan Tiada Unsur Sabotaj Tapi…

13 Apr 2023 • 1:07 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Selepas 47 tahun, akhirnya laporan akhir mengenai Tragedi Double Six telah pun dikeluarkan semalam untuk diakses oleh orang awam seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lepas.

Menerusi laporan di laman web Kementerian Pengangkutan Malaysia, tiada bukti menunjukkan berlakunya sabotaj, kebakaran atau letupan yang menyebabkan berlakunya nahas pesawat yang mengorbankan Ketua Menteri Fuad Stephens dan 10 yang lain pada tahun 1976 yang lalu.

Laporan mengatakan pesawat tersebut telah pun diselenggara mengikut jadual dan muatannya juga tidak melebihi had yang ditetapkan.

Namun begitu, kedudukan pusat graviti pesawat berada di luar had yang diluluskan.

Kemungkinan punca kemalangan adalah disebabkan oleh kedudukan pusat graviti jauh di luar had belakang, yang menyebabkan lajur kawalan kehabisan julat hadapan apabila hidung pesawat naik apabila kepak melepasi 25 darjah pada pendekatan terakhir untuk mendarat.”

image is not available

Selain itu, laporan ini turut mengatakan prosedur operasi yang dibuat oleh syarikat juruterbang tidak menepati piawaian professional.

Terdapat beberapa keperluan khusus yang ditetapkan oleh undang-undang seperti helaian muatan perlu disediakan sebelum setiap penerbangan pengangkutan awam berlepas beserta salinan untuk ditinggalkan di terminal.

“Mengikut manual operasi syarikat, penerbangan VIP memerlukan pelan penerbangan yang perlu difailkan, namun ia tidak dibuat.”

Tak cukup dengan itu, syarikat penerbangan juga sepatutnya memantau sistem bagi memastikan prosedur dipatuhi seperti memantau tempoh rehat krew penerbangan.

Ia mengatakan, tempoh masa bertugas juruterbang telah melebihi 67 minit dari 10 jam yang ditetapkan apabila insiden ini berlaku, di mana menurut manual operasi syarikat menyatakan bahawa waktu bertugas krew anak kapal bermula dari dua jam sebelum berlepas dan satu jam selepas penerbangan.

image is not available

Pada hari kemalangan, juruterbang telah berjaya membuat penerbangan dari Labuan ke Kota Kinabalu sebanyak dua kali dengan memulakan penerbangan pertama pada jam 6.35 pagi waktu tempatan.

“Untuk berlepas pada 6.35 pagi, dia perlu bangun sekurang-kurangnya pada jam 5.30 pagi. Jumlah masa tidur pada malam sebelumnya tidak boleh dijangka tapi dia perlu bangun agak awal untuk membenarkan dua rakannya yang tinggal bersamanya di sebuah hotel tempatan untuk masuk.

“Ketika kemalangan, dia telah pun berjaga lebih kurang 10 jam.”

Laporan ini juga mengatakan bahawa terdapat kemungkinan bahawa juruterbang sakit kerana dia ada mengadu penat dan sakit perut sebelum membuat penerbangan terakhirnya pada jam 1.10 tengahari.

Dalam laporan yang sama, ia turut membuat kesimpulan bahawa tiada tanda sebarang kerosakan atau kecacatan pada pesawat atau enjin sebelum nahas.

Reaksi keluarga mangsa

Kapten Juruterbang Nizam Gandhi yang merupakan anak kepada mendiang Kapten Gandhi J. Nathan yang membawa pesawat terhempas pada 1976 merasakan bahawa bapanya tidak patut disalahkan atas insiden tersebut.

Mungkin laporan tersebut betul, tapi syarikat penerbangan mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan muatan pesawat adalah bertepatan dengan garis panduan.

“Juruterbang tidak boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya kerana syarikat sepatutnya menyediakan helaian muatan sebelum berlepas.”

Bagaimanapun, Nizam mengatakan dia memerlukan masa yang lebih untuk melihat laporan tersebut sepenuhnya sebelum memberikan komen lanjut.

Manakala timbalan presiden Upko, Donald Peter Mojuntin merasakan laporan akhir itu telah menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.

image is not available

Kami keliru kenapa laporan tersebut diklasifikan bertahun-tahun. Terdapat pegawai kerajaan dan menteri yang mengatakan laporan tersebut diklasifikasikan kerana kepentingan awam dan untuk keselamatan negara.

“Tapi mereka boleh beritahu kami semua ini 47 tahun lepas. Laporan tersebut sangat antiklimaks.”

Untuk pengetahuan korang, bekas MP Penampang ini merupakan anak kepada Peter Mojuntin yang merupakan Menteri Perumahan dan Tempatan pada ketika itu yang turut meninggal dunia dalam nahas tersebut.

Beliau telah meminta PMX untuk sediakan jawatankuasa khas bagi menyiasat kenapa laporan tersebut diklasifikasikan.

Kami terima laporan tersebut, tapi masalahnya kalau ia sangat straighforward, kenapa ia diklasifikasikan?

“Sekarang saya rasa, lebih ramai orang Sabah akan tertanya-tanya kenapa ia diklasifikasikan? Kenapa, kenapa, kenapa?”

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh keluarga Tun Fuad Stephens, sebab sebenar kemalangan ini tak akan diketahui sehingga pihak berkuasa Australia mengeluarkan laporan mereka.

Kenapa ia diberikan kawalan klasifikasi di bawah ISA? Kenapa ia tak pernah didedahkan ketika nahas tersebut berlaku?

“Kita dah beri surat kepada Biro Siasatan Kemalangan Udara pada Jun 2020 untuk meminta salinan laporan ini dan diberitahu bahawa mereka tak dapat menemui salinan tersebut dan jika ada pun laporan itu telah diklasifikasi.

“Untuk memberi keadilan kepada orang dan organisasi yang disebut secara negatif dalam laporan tersebut seperti juruterbang, kami merasakan bahawa kami tidak mendapat gambaran lengkap mengenai punca nahas melainkan kami dapat melihat semua laporan dari Australia.”

Mereka turut meminta agar kerajaan Australia dapat memberikan keseluruhan laporan mengenai nahas Nomad tersebut.

 

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.