Tragedi glamping: BBQ dalam khemah tertutup boleh bawa maut

Health & Fitness
4 Jun 2026 • 4:00 PM MYT
Public Health M'sia
Public Health M'sia

Public Health M'sia shares simple, relatable health education.

Image from: Tragedi glamping: BBQ dalam khemah tertutup boleh bawa maut
Gambar: Public Health M'sia

EMPAT BERANAK PERGI GLAMPING, TAPI TIDAK PERNAH PULANG

Sebuah keluarga kecil. Seorang ayah, seorang ibu, dan dua anak. Mereka tiba di kawasan glamping pada malam 26 Mei 2026. Tempat sejuk, suasana gunung, khemah cantik, udara nyaman. Jenis percutian yang ramai orang bayangkan sebagai momen paling tenang bersama keluarga.

Malam itu, mereka dikatakan sempat melakukan aktiviti barbeku. Ada daging, ada makanan, ada peralatan memasak. Menurut laporan, si ayah juga memang biasa memasak barbeku kerana pernah bekerja di Korea Selatan.

Barbeku bagi keluarga ini bukan sekadar makan. Ia mungkin satu cara mereka berkumpul, berbual, ketawa dan menikmati masa bersama.

Tetapi di situlah tragedi ini menjadi sangat menyayat hati.

Sesuatu yang nampak seperti aktiviti keluarga paling biasa, membakar makanan, makan bersama, kemudian masuk tidur, akhirnya menjadi malam terakhir mereka.

Kronologi kejadian

Pada malam Selasa, 26 Mei 2026, keluarga ini tiba di tapak kawasan glamping Posong, Temanggung pada malam 26 Mei 2026.

Mereka dipercayai memasak dan membuat barbeku menggunakan peralatan seperti gas portable dan peralatan pembakaran. Kawasan glamping ini berada di dataran tinggi yang sejuk, jadi kemungkinan khemah ditutup rapat untuk menahan angin malam.

Keesokan paginya, Rabu 27 Mei 2026,

Petugas glamping datang menghantar sarapan sekitar jam 9 pagi, tetapi tiada jawapan dari dalam khemah.

Petugas datang lagi menjelang waktu check out. Masih tiada respons.

Pada sebelah petang, pintu khemah akhirnya dibuka.

Ketika itulah keempat-empat mereka ditemukan sudah meninggal dunia di dalam khemah. Laporan menyebut keadaan tubuh sudah kaku, dan pemeriksaan awal tidak menemukan tanda jenayah.

Apa yang disyaki menjadi punca?

Siasatan awal tidak menolak kemungkinan mangsa terdedah kepada gas karbon monoksida atau gas hasil pembakaran selepas aktiviti barbeku dan penggunaan peralatan memasak berhampiran khemah tertutup.

Namun, antara dugaan yang kuat ialah pendedahan kepada gas karbon monoksida, atau CO, yang boleh terhasil daripada pembakaran arang, dapur gas portable atau aktiviti barbeku dalam kawasan yang tidak cukup pengudaraan.

Dalam kes ini, laporan menyebut pintu dan ventilasi khemah ditemui tertutup rapat. Peralatan memasak dan pembakaran pula ditemukan di kawasan khemah.

Keadaan ini boleh menyebabkan gas hasil pembakaran terkumpul, terutama jika selepas memasak atau barbeku, ruang tidur terus ditutup.

Bagaimana gas ini boleh menyebabkan kematian?

Karbon monoksida ini sangat berbahaya kerana ia tidak berbau, tidak berwarna dan tidak dapat dirasa.

Kita mungkin masih rasa sedang bernafas seperti biasa.

Kita mungkin tidak nampak asap tebal.

Kita mungkin tidak bau apa-apa yang pelik.

Tetapi dalam badan, CO boleh melekat pada darah dan menghalang oksigen daripada sampai ke otak, jantung dan organ penting.

Mula-mula seseorang mungkin rasa pening. Sakit kepala. Loya. Lemah. Mengantuk. Keliru.

Tetapi jika berlaku ketika tidur, mangsa mungkin tidak sempat sedar.

Tidak sempat buka pintu.

Tidak sempat panggil sesiapa.

Tidak sempat selamatkan anak di sebelah.

Itulah yang paling menakutkan tentang karbon monoksida.

Ia bukan datang seperti api besar yang kita nampak. Ia bukan datang seperti asap hitam yang membuat kita panik.

Ia datang senyap-senyap, memenuhi ruang tertutup, ketika semua orang menyangka malam itu cuma malam biasa bersama keluarga.

Langkah pencegahan

🚨 Jangan buat barbeku di dalam khemah, kabin kecil, bilik tertutup atau ruang tidur.

🚨 Jangan guna arang, briket atau grill sebagai sumber haba dalam khemah walaupun cuaca sejuk.

🚨 Pastikan tempat memasak berada di luar khemah, jauh dari pintu, tingkap atau laluan udara masuk.

🚨 Selepas memasak atau barbeku, jangan terus tutup semua ruang pengudaraan.

Semoga tragedi ini menjadi peringatan buat semua.

Al-Fatihah buat Muhamad Ali Munawar, Maghfirah, Bagas Amar Hakiki dan Alvino Evan Hakim.

#PublicHealthMalaysia #KarbonMonoksida #KeselamatanKeluarga


Public Health M'sia (publichealthmalaysia@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.