Tragedi Kepala Air Pertak: Khidmat Penyelam Diguna Kesan Mangsa Terakhir

15 Nov 2026 • 2:14 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tragedi Kepala Air Pertak: Khidmat Penyelam Diguna Kesan Mangsa Terakhir

HULU SELANGOR - Usaha mengesan seorang lagi mangsa yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Sungai Luit diteruskan hari ini dengan pasukan penyelam dikerahkan ke kawasan yang dikenal pasti hasil petunjuk Unit Anjing Pengesan (K9).

Memasuki hari kelima operasi mencari dan menyelamat (SAR), tumpuan pencarian hari ini terarah kepada dua kawasan utama, iaitu Sektor C dan D, dengan kekuatan 43 anggota daripada pelbagai agensi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata operasi bermula pada 8.30 pagi, membabitkan 26 anggota bomba dan 17 anggota daripada agensi sokongan.

Menurutnya, Unit K9 memulakan pencarian di Sektor C pada 8.50 pagi sebelum petunjuk yang diperoleh digunakan untuk menentukan kawasan selaman oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

“Pada masa sama, pasukan bot turut menyusuri kedua-dua sektor menggunakan teknik pencarian Donut/Expanding Square serta pemeriksaan di permukaan air bagi memperluas liputan pencarian,” katanya.

Jelas Ashrul Riezal, operasi diteruskan selepas mayat mangsa ketujuh ditemukan pada Jumaat lalu.

Pengarah JBPM Selangor, Datuk Wan Md Razali Wan Ismail, berkata mayat seorang lelaki warga India yang identitinya belum dikenal pasti ditemukan pada 3.40 petang di Sektor C.

Tragedi itu berlaku Isnin lalu apabila lapan lelaki dihanyutkan arus deras.

Mangsa pertama, seorang lelaki warga Malaysia, ditemukan pada 1.30 pagi keesokan harinya berhampiran Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi kejadian di Lata Jebus.

Daripada lapan mangsa, tujuh dipercayai dihanyutkan dari kawasan Lata Jebus, manakala seorang lagi dipercayai dibawa arus dari kawasan berhampiran tapak perkelahan Sungai Pertak.

Bagi membantu usaha pencarian, Unit Udara JBPM turut menggunakan dron untuk memantau kawasan operasi dari udara dan mengenal pasti lokasi yang berpotensi menjadi tempat mangsa ditemukan.

Operasi pagi ini turut disokong lima bot, masing-masing tiga milik JBPM, sebuah daripada Pasukan Bomba Sukarela Batang Kali dan sebuah lagi milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ashrul Riezal berkata, kelangsungan operasi pada sebelah petang bergantung kepada keadaan cuaca, paras air dan kekuatan arus sungai.

Beliau berkata, aspek keselamatan anggota perlu diberi perhatian serius berikutan kawasan berkenaan pernah dilanda dua kejadian kepala air sebelum ini, masing-masing pada 11 November jam 3.30 petang dan 14 November jam 1 pagi.

“Keadaan aliran sungai, struktur dasar sungai serta sebarang perubahan yang boleh mendatangkan risiko kepada anggota penyelamat akan terus dinilai sebelum operasi diteruskan,” katanya.

Operasi SAR bersepadu itu akan diteruskan dengan penglibatan semua agensi bagi memastikan usaha mengesan mangsa terakhir dapat dilakukan sebaik mungkin. - Getaran, 15 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved