
KUALA LUMPUR - Seramai 57 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi susulan banjir teruk yang melanda daerah Rasuwa, Nepal, ketika usaha mengesan keberadaan mereka sedang giat dijalankan.
Wisma Putra menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan daripada ahli keluarga, rakan serta majikan berhubung rakyat Malaysia berkenaan sehingga jam 11 malam tadi.
Menurut kementerian itu, wakil diplomatik Malaysia di rantau berkenaan kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Nepal dan agensi berkaitan bagi mengesahkan maklumat diterima serta mengesan kesemua 57 rakyat Malaysia terlibat.
Setakat ini, pihak berkuasa Nepal dilaporkan telah menyelamatkan 31 warga asing, namun jelas Wisma Putra, pihaknya masih belum dapat mengesahkan sama ada terdapat rakyat Malaysia dalam kalangan mereka yang berjaya diselamatkan.
“Kementerian turut menerima maklumat bahawa sebahagian rakyat Malaysia dipercayai memasuki kawasan terjejas melalui China dan India,” katanya.
Sehubungan itu, wakil diplomatik Malaysia sedang bekerjasama dengan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Nepal serta Lembaga Pelancongan Nepal bagi menyemak dan mengesahkan maklumat mengenai rakyat Malaysia yang dipercayai berada di kawasan dilanda bencana.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan membabitkan pasukan polis, agensi keselamatan, pihak berkuasa tempatan serta penduduk setempat.
Dalam masa sama, penduduk di kawasan berisiko dilanda banjir susulan sedang dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat.
Usaha menyelamat bagaimanapun berdepan kesukaran berikutan kerosakan teruk pada rangkaian jalan raya dan gangguan sistem komunikasi di beberapa kawasan terjejas.
Helikopter kini digunakan secara meluas bagi menyokong operasi mencari dan menyelamat, khususnya untuk menembusi kawasan yang sukar diakses.
Mangsa yang memerlukan rawatan perubatan segera diterbangkan ke hospital-hospital utama di Kathmandu, manakala pesakit mengalami kecederaan ringan menerima rawatan di kemudahan perubatan di kawasan terjejas.
Wisma Putra berkata, Bilik Gerakan di Putrajaya akan terus beroperasi 24 jam sehari sehingga dimaklumkan kelak bagi menyelaras maklumat serta membantu rakyat Malaysia yang terjejas dan keluarga mereka.
Ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan rakyat Malaysia yang masih gagal dikesan diminta menghubungi Bilik Gerakan di talian +603 8887 4570 atau menerusi e-mel dutyofficer@kln.gov.my.
Mereka diminta memberikan maklumat seperti nama penuh individu berkenaan, nombor pasport, jadual perjalanan, lokasi terakhir yang diketahui serta nombor untuk dihubungi, sekiranya ada.
Maklumat juga boleh disalurkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menerusi e-mel mwkathmandu@kln.gov.my.
Kementerian turut menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau dalam perjalanan ke Nepal, khususnya mereka berada di atau berhampiran kawasan terjejas, supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Rakyat Malaysia juga digalakkan mendaftar dengan kementerian serta memastikan maklumat hubungan sentiasa dikemas kini menerusi portal e-Konsular. - Getaran, 28 Ogos 2026






