
KUALA LUMPUR - Pemergian Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd Radzi Rahimi, akibat dihempap pokok tumbang di Bentong hari ini mengundang rasa duka barisan pemimpin dan ahli UMNO, selepas kehilangan rakan seperjuangan yang disifatkan amat dihormati.
Dalam kejadian itu, Mohd Radzi maut selepas kenderaan jenis Ford Ranger Raptor yang dinaiki bersama isteri, anak serta adik iparnya dihempap sebatang pokok tumbang ketika melalui Jalan Bentong-Raub.
Berita sedih itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang merangkap Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah, menerusi satu hantaran di Facebook.,
Beliau menyifatkan tragedi berkenaan sebagai satu kehilangan yang amat menyayat hati dan mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Mohd Radzi, isterinya Nuriani Mohammad Jafri, anak mereka Muhammad Rizz Hazim serta adik iparnya Mohammad Nizam Mohammad Jafri.
“Dengan penuh rasa dukacita saya menerima khabar pemergian Edy, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, bersama isteri, anak dan adik iparnya yang terkorban dalam kemalangan di Bentong.
"Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa mereka, menerima segala amal kebajikan dan menempatkan mereka dalam kalangan hamba-Nya yang beroleh rahmat.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga. Semoga dikurniakan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Mohd Radzi yang disifatkannya sebagai sahabat rapat dan sentiasa berada di sisinya dalam apa jua keadaan.
Menurut beliau, kehilangan itu amat dirasai seluruh kepimpinan dan anggota Pergerakan Pemuda UMNO.
“Bagi pihak Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosanya, menerima amal kebajikannya serta mengangkat darjatnya di sisi-Nya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mengimbau persahabatan mereka, Akmal menyifatkan Allahyarham sebagai seorang sahabat sejati yang sentiasa bersama ketika menghadapi saat sukar mahupun ketika menikmati kegembiraan.
“Sahabat sejati yang sentiasa bersama saya dalam susah dan senang,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari berhampiran Lentang, Bentong, lima individu berada di dalam kenderaan terbabit ketika kemalangan berlaku.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, empat mangsa disahkan maut di lokasi kejadian, masing-masing pemandu lelaki berusia 35 tahun, seorang wanita yang duduk di bahagian penumpang hadapan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun serta seorang lelaki berusia 40 tahun yang berada di tempat duduk belakang.
Seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lima tahun terselamat namun mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Menurut polis, kemalangan berlaku selepas kenderaan yang dinaiki mangsa dihempap sebatang pokok yang tumbang ketika sedang melalui jalan berkenaan. - Getaran, 3 Ogos 2026






