Tragedi Putra Heights: Masalah Sistemik Dalam Perancangan Bandar Antara Pencetus - NHRA

22 Apr 2025 • 8:36 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kesan kebakaran saluran gas di Putra Heights masih dapat dilihat - Gambar Facebook

KUALA LUMPUR - Insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights adalah simptom kepada masalah sistemik yang telah lama berakar dalam perancangan bandar.

Pengerusi Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan (NHRA), K Prakash berkata, aspek perancangan bandar di negara ini sejak sekian lana telah dibebani peningkatan mendadak dalam pembangunan kediaman berintensiti tinggi.

Menurut beliau, masalah itu berlaku secara berterusan, tanpa kawalan terhadap kepadatan dan kemampuan infrastruktur kawasan.

“Kebakaran itu bukan sahaja menyebabkan kerosakan fizikal kepada harta benda, tetapi turut mencetus trauma dan kebimbangan terhadap tahap keselamatan perumahan di kawasan bandar yang padat.

“Insiden ini seharusnya membuka mata semua pihak bahawa pembangunan perumahan jika tidak dirancang secara menyeluruh dan mampan, boleh membawa kesan buruk yang jauh lebih besar daripada jangkaan,” katanya kepada Getaran di sini hari ini.

image is not available
K Prakash

Jelas Prakash, trend pembangunan pesat dapat dilihat di majoriti kawasan bandar, termasuk Putra Heights, Subang Jaya dan Puchong yang dipenuhi pangsapuri bertingkat tinggi. 

“Namun, apa yang sering terlepas pandang ialah sama ada kawasan tersebut benar-benar mampu menampung jumlah penduduk tambahan secara selamat dan berdaya huni.

“Kesan negatif akibat kepadatan penduduk yang melampau kini semakin ketara, antaranya tempat letak kereta yang tidak mencukupi, mengakibatkan parkir haram yang menjejaskan laluan kecemasan dan akses kepada kenderaan penyelamat,” katanya. 

Beliau menarik perhatian, kesesakan lalu lintas harian ini menjejaskan produktiviti dan memburukkan kesihatan mental penduduk.

“Tekanan melampau terhadap fasiliti awam seperti klinik kesihatan, hospital dan sekolah pula menyebabkan perkhidmatan menjadi perlahan dan tidak efisien,” katanya. 

Dalam hal ini jelas Prakash, kerajaan khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan tegas dan berasaskan data dalam menangani isu tersebut.

“Antara langkah yang perlu diberi keutamaan termasuk kajian impak kepadatan sebagai syarat wajib serta audit infrastruktur keselamatan dan utiliti.

“Pihak berkuasa juga perlu meletakkan had pembangunan di zon padat dan mewujudkan pelan tambahan kemudahan awam,” katanya. - Getaran, 22 April 2025