INSIDEN kebakaran yang memusnahkan lapan rumah di Chabang Tiga, Kota Bharu pada Jumaat menimbulkan persoalan penting berhubung kepentingan pengurusan kewangan yang selamat seperti di rumah.
Seorang peniaga gas memasak, Syawal Anuar Ariffin, 40, dilaporkan mengalami kerugian kira-kira RM50,000 susulan wang tunai hasil perniagaannya hangus dalam kebakaran berkenaan.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 9.45 malam itu, dia bersama isteri dan anak-anak keluar bersiar-siar pada hujung minggu sebelum dihubungi sepupunya yang memaklumkan kejadian itu.
Menurut Syawal Anuar, dia menyimpan wang perniagaan termasuk modal pusingan dalam almari serta di bawah tilam di rumah pusaka ibu bapanya itu.
Wang tunai yang disimpan di rumah terdedah kepada pelbagai ancaman seperti kebakaran, kecurian, banjir dan kecuaian.
Tidak seperti aset lain, wang tunai yang hangus atau hilang tidak boleh dikesan atau dituntut semula.
Justeru itu, alternatif menyimpan wang di bank wajar dilihat sebagai pilihan selamat malah memberikan perlindungan yang jauh lebih kukuh.
Selain itu, simpanan di bank membolehkan akses yang lebih fleksibel melalui perbankan dalam talian, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) atau transaksi tanpa tunai.
Dalam situasi kecemasan seperti kebakaran, mangsa masih boleh mengakses wang mereka untuk keperluan segera seperti tempat tinggal sementara, makanan dan pembelian semula keperluan asas.
Bagaimanapun, insiden berkenaan memberi isyarat kepada masyarakat khususnya peniaga kecil tentang pentingnya literasi kewangan.
Menyimpan wang dalam jumlah besar di rumah mungkin dilihat praktikal dalam jangka pendek, namun berisiko tinggi dalam jangka panjang.
Penggunaan akaun semasa perniagaan, pemisahan kewangan peribadi dan perniagaan serta amalan deposit harian boleh membantu mengurangkan risiko kerugian besar.



