
BANGKOK - Thailand mengambil langkah memperketatkan kawalan pemilikan senjata api susulan kejadian tembakan maut di sebuah sekolah.
Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul mengarahkan penggantungan serta-merta terhadap permit pembelian senjata api dan semakan semula lesen sedia ada.
Arahan itu dikeluarkan beliau hari ini, dan polis turut diminta menghentikan pembaharuan permit yang membolehkan individu membeli senjata api.
Beliau turut mengarahkan Timbalan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perundangan supaya mempercepatkan penggubalan undang-undang baharu berkaitan kawalan senjata api, termasuk memperkenalkan peraturan lebih ketat serta hukuman yang jauh lebih berat terhadap kesalahan berkaitan senjata.
Anutin pada masa sama menegaskan, senjata api yang didaftarkan secara sah hanya boleh disimpan di kediaman pemilik dan tidak boleh dibawa di tempat awam.
Bagi senjata api yang dimiliki secara haram pula, kerajaan sedang mengkaji peruntukan undang-undang yang mewajibkan pemilik menyerahkannya kepada kerajaan dalam tempoh tertentu, Anutik dipetik Reuters sebagai berkata.
Langkah berkenaan diambil beberapa hari selepas seorang remaja bersenjata melepaskan tembakan di sebuah sekolah di luar Bangkok, mengorbankan beberapa mangsa sebelum penyerang terbabit menamatkan riwayatnya sendiri.
Insiden itu antara tragedi pembunuhan beramai-ramai paling buruk yang berlaku di Thailand dalam tempoh hampir empat tahun.
Ia mencetuskan semula perdebatan mengenai tahap pemilikan senjata api dalam kalangan orang awam serta akses mudah terhadap senjata berkenaan.
Menurut anggaran Small Arms Survey pada 2017, orang awam di Thailand memiliki kira-kira 10.3 juta senjata api, bersamaan sekitar 15 senjata bagi setiap 100 penduduk.
Angka itu merupakan kadar pemilikan senjata api awam tertinggi di Asia Tenggara.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Thailand turut mengemukakan beberapa cadangan tambahan kepada Kabinet bagi memperkukuh keselamatan di sekolah dan premis pendidikan.
Antara langkah yang dicadangkan ialah pemeriksaan terhadap setiap individu yang memasuki premis pendidikan bagi mengesan objek atau senjata yang menyalahi undang-undang. - Getaran, 11 Ogos 2026



