Bakal beraya dengan keluarga Fattah, Amira Othman kongsi Syawal pertama sebagai isteri & teruja lagu ‘Bincang Raya’ trending

EntertainmentLifestyle
14 Mar 2026 • 3:18 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

TAHUN ini menyimpan detik manis buat Amira Othman.

Bukan sekadar bergelar isteri, Syawal kali ini lebih bermakna kerana dia bakal menyambutnya bersama suami tercinta, Fattah Amin.

Anak kedua daripada lima beradik ini berkongsi dengan SinarPlus bahawa sambutan Aidilfitri akan dimulakan bersama keluarga mentua dahulu, detik penuh kehangatan yang pastinya akan dirasai setiap saat.

image is not available

“Kalau ikut kebiasaan, saya memang sentiasa beraya bersama keluarga sendiri. Tapi tahun ini ada sedikit perubahan.

"Kebetulan adik saya akan berkahwin pada bulan Syawal, jadi kami sepakat untuk beraya dengan keluarga Fattah dahulu sebelum pulang ke kampung di Johor,” jelas pemilik nama sebenar Nadia Amira Othman.

Amira yang teruja menyambut Syawal dalam status baharu mengakui rasa tidak sabar untuk merasai pengalaman beraya dengan keluarga besar suami.

“Keluarga saya pun besar, jadi rasanya tak banyak bezanya. Tahun ini lebih kepada menyantuni kaum keluarga. Tentang perasaan pertama kali beraya dengan suami dan mentua… saya masih belum boleh jawab sepenuhnya sebab belum melaluinya, tapi saya bersyukur kerana ibu bapa mentua sangat penyayang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, kakak kepada penyanyi Irfan Haris ini memberitahu dia belum sempat membuat persiapan raya kerana sibuk dengan urusan kerjaya.

“Insya-ALLAH saya akan perlahan-lahan fokus pada persiapan raya menjelang penghujung Ramadan. Fattah pun dah tahu tentang perancangan ini,” ujarnya.

image is not available

Bincang  Raya  idea  suami

Selain kesibukan persiapan raya, Amira tidak ketinggalan berkongsi perkembangan kerjaya. Tahun ini, dia muncul bersama adiknya, Irfan, dengan lagu raya ‘Bincang Raya’ yang menerima sambutan hangat.

Menariknya, idea lagu itu datang daripada suaminya sendiri.

“Fattah cakap, buatlah lagu raya dan suruh saya duet dengan Irfan. Idea ini datang ‘last minute’.

image is not available

"Saya terus mesej Irfan dan dia setuju, kemudian kami hasilkan lagu ini bersama adik saya yang lain, Haikal Iskandar,” kongsi Amira.

Turut terlibat dalam penciptaan lagu ini ialah Omar K dan Syazriq.

Lagu tersebut katanya diinspirasikan daripada situasi sebenar perbualannya dengan Irfan.

“Irfan selalu tanya saya tahun ini beraya di mana, memandangkan saya sudah bergelar isteri. Daripada situ dia cipta lirik lagu ini. Bila dengar versi siap, saya rasa lagu ini memang bakal ‘meletup’,” tambahnya.

image is not available

Walaupun Fattah tidak menyanyi sepenuhnya dalam lagu itu, pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Panhlawan memainkan peranan penting sebagai pengarah dan pelakon video muzik (MV) lagu tersebut.

“Bila dengar lagu ini, Fattah terus mahu mengarah MV dan bekerjasama dengan kawan baiknya, Khalid Nazri, menghasilkan jalan cerita. Sebenarnya dia ada menyanyi sedikit di hujung lagu dengan lirik ‘tak bolehlah sayang’,” ujarnya.

Amira juga terharu dengan sambutan hangat orang ramai terhadap lagu tersebut.

image is not available

“Ini semua rezeki. Ada masanya apa yang kita hasilkan menjadi, ada juga sebaliknya.

"Saya gembira apabila ramai yang buat video trend guna lagu Bincang Raya, termasuk guru, doktor dan pelbagai latar belakang,” katanya dengan penuh syukur.