
PILUNYA hati mengenangkan pemergian tragis seorang pelajar Kolej Vokasional Teluk Intan (KVTI) yang maut selepas terkena sabit ketika dalam perjalanan pulang ke kolej, hanya beberapa hari menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Kejadian menggemparkan negara itu disahkan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin yang memaklumkan kejadian melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 18 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mangsa berusia 17 tahun yang juga rakan sekolej kini dirawat akibat cedera pada tangan.
Berikut butiran kejadian yang menyayat hati:
1-Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebilah sabit berhulu panjang yang dibawa seorang lelaki menaiki motosikal telah terkena pada bahagian leher mangsa, yang ketika itu juga sedang menunggang motosikal.

2-Berikutan kejadian itu, polis menahan dua lelaki warga asing masing-masing berusia 39 dan 52 tahun bagi membantu siasatan, selain turut merampas sebilah sabit serta sebuah motosikal.
3-Kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan untuk permohonan reman bagi membantu siasatan
Sementara itu, KVTI menerusi laman sosial Facebook berkongsi belasungkawa buat pelajar mereka yang terlibat dalam kemalangan mengundang sebak.
"KVTI berduka. Dukacita dimaklumkan Saudara Adham bin Faisal, SVM Semester 4 Agroindustri Ternakan Poltri telah meninggal dunia akibat kemalangan semasa dalam perjalanan pergi ke KV (Pertanian) Teluk Intan pada 9 Mac 2026.

"Semoga ditempatkan bersama orang beriman," kongsinya.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa sedang dalam perjalanan ke kolej bagi menduduki latihan praktikal di institusi berkenaan.
Menurut grup Facebook Penduduk Sungai Petani, kejadian berlaku apabila motosikal yang dinaiki mangsa berselisih rapat dengan sebuah lagi motosikal yang ditunggang warga asing, membawa sabit berhulu panjang, lalu menyebabkan sabit tersebut terkena pada leher Allahyarham.
SMK Sungai Layar menerusi Facebook turut mengucapkan takziah buat ibu mangsa yang merupakan guru di sekolah berkenaan.

"Dengan penuh rasa dukacita, warga SMK Sungai Layar merakamkan ucapan takziah kepada Puan Azlina Abd Fatah atas pemergian anak lelaki beliau yang juga merupakan bekas pelajar SMK Sungai Layar, yang telah kembali ke rahmatullah.
"Sesungguhnya pemergian ini amat menyentuh hati seluruh warga sekolah. Kami turut merasai kesedihan yang sedang dilalui oleh Puan Azlina sekeluarga. Semoga mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang berat ini.

"Sama-samalah kita menghadiahkan doa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh," kongsinya.
Jenazah Allahyarham kemudian dibawa pulang dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Majidi, Sungai Petani sekitar jam 11.40 malam tadi.
Dalam perkembangan terkini, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai pengait sawit direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman bermula hari ini hingga 16 Mac itu, dikeluarkan Majistret Naidatul Athirah Azman di Mahkamah Majistret Teluk Intan.
Sumber: Bernama, Facebook

