Trail 121 Meter! Puteri Membara Malaysia Menang Busana Terbaik Di Mrs World Las Vegas

1 Feb 2025 • 10:43 AM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Arena ratu cantik Malaysia sekali lagi melakar nama di pentas dunia apabila kostum kebangsaan yang diperagakan oleh wakil Mrs Malaysia World 2024, Dr. Shalini Devi Ramachandran, telah dinobatkan sebagai Busana Terbaik di Las Vegas pada Jumaat.

Kostum kebangsaan yang diberi nama Puteri Membara Malaysia itu dihasilkan oleh Pereka Busana Radio Televisyen Malaysia (RTM), Saran Lagong, 46, selama sebulan.



"Sebagai seorang pereka busana, kemenangan ini memberi semangat dan kegembiraan yang luar biasa. Pada awalnya, saya rasa ragu-ragu kerana rekaan ini sangat rumit.



"Saya tidak begitu yakin, tetapi apabila saya mencuba dan terus berusaha, saya tidak menyangka ia akhirnya menjadi sesuatu yang indah.



"Kemenangan ini memberi inspirasi untuk terus menghasilkan rekaan yang lebih baik pada masa akan datang. Semakin lama berkecimpung dalam bidang ini, saya semakin mahir dan yakin dengan kebolehan diri," katanya kepada Berita RTM.



image is not available



Keunikan rekaan ini turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) kerana mempunyai trail sepanjang 121 meter, menjadikan kostum yang terpanjang pernah dicipta bagi kategori kostum kebangsaan.

Gabungan batik & songket Malaysia

Kostum 'Puteri Membara Malaysia' menggabungkan motif batik tradisional dan songket dengan sentuhan seni kontemporari, menyerlahkan kekayaan budaya Malaysia serta kreativiti dalam industri fesyen tempatan.



image is not available


image is not available



Rona merah dan hitam pada kostum ‘Puteri Membara Malaysia’, melambangkan kekuatan semangat serta ketabahan wanita Malaysia.



"Kostum ini diinspirasikan daripada busana puteri dalam versi moden yang menggambarkan semangat dan iltizam yang membara, persis api yang menyala.



"Merah membawa makna perpaduan, cinta dan keazaman, manakala hitam mencerminkan keanggunan, kekuatan dan kewibawaan wanita Malaysia," tambahnya.

Tiga tahun berturut-turut

Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut rekaan anak kelahiran jati Sarawak ini dipilih untuk dipersembahkan di pentas Mrs World.



"Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, tetapi cukup sekadar rekaan saya diterima ramai dan budaya Malaysia dapat diperkenalkan kepada dunia.



"Saya juga ingin membuktikan bahawa bakat dalam sektor penjawat awam setanding dengan pereka profesional," katanya.



image is not available



Dua tahun lalu, Saran mencipta kostum yang dihiasi dengan 10,000 keping syiling lima sen, yang digayakan oleh Olivia Nicholas di Mrs World 2022.



Tahun 2024 rekaan wau bulan gergasi yang digayakan oleh P. Vanishaantini di Mrs World 2023 meraih anugerah Most Original Costume dan menduduki tempat keenam secara keseluruhan.



Sumber: Berita RTM