Transformasi digital bank beri manfaat kepada Cloudpoint Technology – RHB Investment

Business & Finance
20 Jun 2023 • 12:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Transformasi digital bank beri manfaat kepada Cloudpoint Technology – RHB Investment

diyana

20/06/2023 - 12:03

KUALA LUMPUR 20 Jun - Cloudpoint Technology Berhad berada di kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada transformasi digital institusi perbankan, disokong peningkatan perbelanjaan untuk pendigitalan dan teknologi.

RHB Investment berkata ia menyukai kumpulan tersebut yang baharu disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 30 Mei 2023 memandangkan profil pelanggannya kukuh di samping mempunyai pelbagai penyelesaian dan vendor serta model perniagaan yang ringan aset.

Jelasnya, ini meletakkan kumpulan tersebut di kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada inovasi utamanya, kecanggihan peringkat tinggi dalam ancaman, pematuhan kawal selia dan pelaburan teguh institusi kewangan (FI) dalam pendigitalan.

Firma penyelidikan itu berkata buku pesanan Cloudpoint Technology bagi tahun kewangan 2023 (FY23) telah melonjak lebih 50% kepada sekitar RM60 juta, melebihi sasaran kumpulan sebanyak RM39 juta.

“Ini adalah susulan penambahan tempahan daripada lima pelanggan utamanya sepanjang dua bulan lalu dan dijangka terus meningkat memandangkan kumpulan itu sedang mencari untuk mendapatkan lebih banyak projek daripada pelanggan baharu dan sedia ada, merentas semua segmen daripada buku tendernya yang teguh,” jelasnya dalam nota hari ini.

Firma itu berkata kumpulan itu dijangka pacu pertumbuhannya dengan tiga kontrak penyegaran semula (refresh) teknologi institusi kewangan yang akan dilaksanakan pada FY23 hingga FY24, di mana pihak pengurusan kumpulan berkata projek ini lazimnya dua hingga lima kali lebih besar daripada nilai kontrak biasa RM2 hingga 5 juta.

Memetik analisis International Data Corporation, firma itu berkata 83.2% bank di Asia Pasifik akan meningkatkan belanjawan teknologi mereka pada 2023, dengan 14.8% menandakan bahawa mereka akan menaikkan perbelanjaan sebanyak 20% atau lebih.

“Kami percaya prospek pertumbuhannya adalah memberangsangkan, terutama dalam ruang institusi kewangan dalam jangka sederhana kerana bank akan terus melabur banyak dalam pendigitalan dan teknologi,” jelasnya.

Di samping itu, segmen perkhidmatan awan baharu kumpulan itu dijangka bertumbuh pesat, di mana perniagaan baharunya untuk perkhidmatan awan dan perisian aplikasi akan mula menyumbang kira-kira 5% daripada pendapatannya dalam FY23 dan menyaksikan pertumbuhan sumbangan sekurang-kurangnya dua kali ganda tahun ke tahun (YoY) sehingga FY25.

“Menurut pengurusan, ia memperoleh projek ServiceNow dengan syarikat insurans dalam buku pesanannya sebelum penyenaraiannya. Baru-baru ini, Cloudpoint turut memperoleh kontrak Sunline dengan bank pelaburan tempatan, menyerlahkan momentum yang semakin meningkat dalam segmen ini,” tambahnya.

RHB Investment mengunjurkan kadar pertumbuhan hasil tahunan (CAGR) pendapatan tiga tahun kumpulan sebanyak 29.4% dan tiada saranan diberikan, namun firma itu memberi nilai saksama (FV) pada 79 sen sesaham.

Saham Cloudpoint Technology setakat pukul 12 tengahari ini didagangkan pada 51 sen, susut 1 sen atau 1.9% dengan modal pasaran sebanyak RM271.1 juta. -DagangNews.com