TransNusa lancar laluan terus Bandar Lampung-Kuala Lumpur bermula 24 Ogos

LocalTravel
30 Jul 2026 • 2:53 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: TransNusa lancar laluan terus Bandar Lampung-Kuala Lumpur bermula 24 Ogos

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan perkhidmatan premium, TransNusa melancarkan laluan antarabangsa baharu yang menghubungkan Bandar Lampung di Sumatera secara terus ke Kuala Lumpur bermula 24 Ogos ini, sekali gus menjadi penerbangan langsung pertama antara kedua-dua destinasi.

TransNusa berkata, syarikat akan mengendalikan penerbangan berjadual harian antara Lapangan Terbang Radin Inten II di Bandar Lampung dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurutnya, laluan baharu itu memperkenalkan model perjalanan titik ke titik yang membolehkan penumpang terbang terus tanpa perlu transit di hab penerbangan utama, sekali gus mengurangkan tempoh perjalanan dan meningkatkan kesalinghubungan antara Sumatera dan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TransNusa, Datuk Bernard Francis berkata, strategi syarikat bukan sekadar bersaing di laluan yang sudah tepu, sebaliknya memberi tumpuan kepada mewujudkan laluan baharu yang mempunyai potensi komersial.

“Kami mahu menjadi peneraju dalam penciptaan laluan baharu. Dengan menghubungkan Bandar Lampung secara terus ke Kuala Lumpur, kami bukan sahaja mengurangkan tempoh perjalanan, malah menawarkan pengalaman perjalanan premium yang lebih mudah dan selesa kepada penumpang.

“Langkah ini juga menyumbang kepada pengukuhan kesalinghubungan serantau serta membuka lebih banyak peluang dalam sektor perdagangan dan pelancongan,” katanya dalam kenyataan.

Melalui laluan baharu ini, TransNusa membuka akses terus kepada pelancong antarabangsa untuk menerokai pelbagai tarikan ekopelancongan seperti Pantai Tanjung Setia, Pulau Pahawang yang terkenal dengan keindahan marin serta Teluk Kiluan yang popular sebagai lokasi melihat ikan lumba-lumba liar.

Jelasnya, Bandar Lampung juga terkenal dengan mercu tanda budaya dan alam semula jadi seperti kompleks gunung berapi Krakatau (Anak Krakatau) serta Taman Negara Way Kambas, yang menjadi habitat penting bagi gajah Sumatera yang terancam.

“Selain sektor pelancongan, Bandar Lampung merupakan hab utama pertanian dan perdagangan, terkenal di peringkat antarabangsa dengan pengeluaran kopi premium, lada hitam serta industri maritim yang kukuh.

“Pada peringkat awal, TransNusa akan mengendalikan penerbangan harian bagi menyokong perjalanan perniagaan dan pelancongan antara Bandar Lampung dan Kuala Lumpur,” jelasnya.

Tambahnya, tiket telah mula dijual pada harga serendah RM399 dan boleh dibeli menerusi laman sesawang www.transnusa.co.id. –UTUSAN

The post TransNusa lancar laluan terus Bandar Lampung-Kuala Lumpur bermula 24 Ogos appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved