
TransNusa Melakar Sejarah Dengan Penerbangan Sulung Ke Lampung, Indonesia
TransNusa hari ini melakar sejarah dengan kejayaan penerbangan sulung yang menghubungkan Bandar Lampung secara terus dengan Kuala Lumpur. Penerbangan 8B 661 berlepas dari Lapangan Terbang Radin Inten II (TKG) pada jam 11:40 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2:25 petang, sekali gus menandakan pembukaan laluan antarabangsa terus yang pertama dari wilayah Lampung, Indonesia.
Dengan memperkenalkan konsep perjalanan terus dari satu destinasi ke destinasi lain, TransNusa menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih mudah dan lancar tanpa perlu melalui hab transit yang sesak seperti Jakarta. Laluan baharu ini bukan sahaja menjimatkan masa perjalanan dan transit sehingga separuh, malah membuka pintu masuk baharu untuk menerokai keindahan Lampung dengan lebih mudah dan selesa.
Mengulas mengenai pencapaian bersejarah ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TransNusa, Datuk Bernard Francis, berkata pelancaran laluan ini membuka lembaran baharu dalam perluasan rangkaian serantau TransNusa, di samping menawarkan akses yang lebih mudah ke destinasi yang masih belum diterokai, khususnya bagi pengembara yang ingin menikmati keindahan pantai, laut dan alam semula jadi yang mempesonakan di syurga tersembunyi ini.

“Ini merupakan satu lagi usaha pembangunan laluan inovatif yang dirancang untuk menghubungkan secara terus dua destinasi yang sebelum ini tidak mempunyai laluan penerbangan langsung. Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan akses antara kedua-dua destinasi, malah membuka lebih banyak peluang untuk rakyat Malaysia meneroka pengalaman baharu, di samping mengeratkan hubungan ekonomi dan pelancongan antara Kuala Lumpur dan Lampung,” kata Datuk Francis.
“Komitmen kami adalah untuk terus meneroka dan membuka laluan baharu yang menghubungkan destinasi-destinasi menarik di seluruh Asia Tenggara, sekali gus memperkayakan pengalaman meneroka destinasi pulau.” jelas Datuk Francis.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Dato’ Mohd Izani Ghani berkata, “Perkhidmatan baharu TransNusa dari Lampung mewujudkan hubungan penerbangan terus ke Kuala Lumpur, sekali gus memperluaskan rangkaian udara antara Malaysia dan Indonesia melangkaui bandar-bandar utama. Ia menawarkan pilihan perjalanan yang lebih mudah dan lancar kepada pelancong dari Lampung untuk terus menikmati pelbagai tarikan dan pengalaman menarik di Kuala Lumpur.”

Indonesia kekal sebagai pasaran penting bagi KLIA, dengan aliran perjalanan yang kukuh antara kedua-dua negara. Kami amat mengalu-alukan pembukaan laluan baharu ini, yang bukan sahaja memperkukuh hubungan antara KLIA dan Indonesia, malah memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat Malaysia untuk meneroka pelbagai destinasi menarik di Indonesia.”
Menyingkap Pesona Tersembunyi Indonesia: Sebuah Pengalaman Luar Biasa
Terletak di pintu gerbang selatan Sumatera, Lampung menawarkan pengalaman yang berbeza daripada destinasi popular di Indonesia seperti Bali dan Jakarta.
Destinasi ini hadir dengan tarikan tersendiri buat pelancong Malaysia yang mencari percutian santai, masa berkualiti bersama keluarga atau pengalaman penuh pengembaraan, sambil menikmati sisi Indonesia yang lebih autentik, tenang dan masih belum terlalu diterokai.
Daya tarikan unik Lampung terletak pada kekayaan biodiversiti dan landskap semula jadinya yang mempesonakan. Dalam satu percutian singkat, pengembara berpeluang menikmati pengalaman yang lengkap, daripada meneroka keindahan alam semula jadi hinggalah mendekati hidupan liar dalam habitat asalnya:
Menyaksikan Ikan Lumba-Lumba Liar: Nikmati pengalaman istimewa melihat kumpulan ikan lumba-lumba liar berenang bebas ketika matahari terbit, dengan latar indah Teluk Kiluan.
Menemui Gajah Sumatera: Dekati dan kenali dengan lebih dekat spesies terancam ini di pusat perlindungan hidupan liar dalam Taman Negara Way Kambas.
Mengagumi Keindahan Gunung Berapi: Terokai landskap gunung berapi Anak Krakatau yang ikonik sambil menghayati keindahan alam serta sejarahnya yang tersendiri.
Pengembaraan Pulau yang Memukau: Selami dunia bawah laut Pahawang Island yang kaya dengan terumbu karang berwarna-warni dan air lautnya yang jernih.
Menakluki Ombak Bertaraf Dunia: Rasai keseronokan meluncur di antara ombak biru kehijauan dan left-hand breaks yang terkenal di sepanjang pesisir Krui dan Tanjung Setia.
Meneroka Hutan Hujan: Selami keindahan alam semula jadi Bukit Barisan Selatan sambil menerokai hutan belantara yang menjadi habitat kepada pelbagai flora dan fauna unik.

LAMPUNG… di mana mentari bertemu lautan
Anda Sudah Menerokai Bali, Kini Tiba Masanya Untuk Menerokai Lampung.
Seiring dengan perkembangan destinasi pelancongan menarik di Indonesia yang melangkaui pintu masuk tradisional, Lampung hadir bukan sebagai pesaing kepada Bali, tetapi sebagai pelengkap yang sempurna, destinasi seterusnya buat mereka yang ingin menikmati pengalaman yang lebih autentik, dekat dengan alam semula jadi dan penuh dengan pengembaraan baharu.
Bagi pelancong Malaysia, Lampung menawarkan pelbagai pengalaman yang sukar dilupakan, menyaksikan ikan lumba-lumba liar, beramah mesra dengan gajah, meneroka Krakatau, menyelam di perairan Pahawang, meluncur air di Krui, dan seterusnya menikmati keunikan alam semula jadi Sumatera yang masih terpelihara.
Jadual Penerbangan & Maklumat Tiket
TransNusa kini menawarkan penerbangan harian terus yang memberikan lebih banyak kemudahan dan fleksibiliti kepada pelancong, sama ada untuk urusan perniagaan mahupun percutian. Penerbangan 8B 661 berlepas dari Bandar Lampung pada jam 11:40 pagi dan tiba di Kuala Lumpur pada jam 2:25 petang. Bagi penerbangan pulang, penerbangan 8B 662 berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 3:00 petang dan tiba di Bandar Lampung pada jam 3:45 petang.
Tiket penerbangan harian ini kini telah mula dijual, dengan tambang promosi sehala bermula serendah RM399. Dengan jadual penerbangan yang mudah dan perjalanan tanpa perlu transit, pelancong Malaysia kini boleh merancang percutian ke Lampung dengan lebih mudah dan selesa.




