Traveloka, Lembaga Pelancongan Singapura bekerjasama tarik pelancong Asia Tenggara

Startup
6 Feb 2024 • 3:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Traveloka, Lembaga Pelancongan Singapura bekerjasama tarik pelancong Asia Tenggara

diyana

06/02/2024 - 15:59

KUALA LUMPUR 6 Feb - Traveloka memperkukuhkan lagi kerjasamanya dengan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) untuk melabur bersama dalam kempen pemasaran dengan memberi tumpuan kepada Indonesia serta berkembang ke Malaysia, Thailand dan Vietnam.

Memorandum kerjasama (MoC) setahun ini dimeterai ketika Singapura memanfaatkan pemulihan pelancongan keluar dari Malaysia, dengan seluruh Asia Tenggara secara kolektif menyumbang 5.28 juta ketibaan pelancong pada akhir 2023 dan Malaysia menyumbang 1.1 juta (20.8%) daripada jumlah itu, menurut satu kenyataan media hari ini.

Di samping itu, kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada strategi untuk menarik pengguna melalui perkongsian cerapan dan data selain meneroka pengenalan produk dan pengalaman baharu Singapura di platform Traveloka.

Traveloka dan STB turut merancang beberapa inisiatif pemasaran, termasuk menggunakan pempengaruh dan membangunkan aset video untuk penerbitan media digital dan sosial.

Selari dengan kempen terbaharu STB, ‘Made in Singapore’, MoC memperkukuh komitmen ini dengan memperkenalkan jalan baharu untuk pengalaman yang diperibadikan dan disesuaikan untuk meningkatkan pengalaman pelancong dan mempamerkan pelbagai tawaran di Singapura kepada khalayak lebih luas di seluruh Asia Tenggara.

Presiden Traveloka, Caesar Indra berkata, pihaknya melihat peningkatan ketara dalam carian dan transaksi untuk semua produk di Indonesia, Malaysia, Thailand, Vietnam dan Filipina sebanyak hampir 80% pada 2023.

“Kami komited untuk memberikan lebih banyak faedah dan memenuhi aspirasi percutian pengguna, termasuk rancangan percutian Singapura mereka dan kerjasama ini merupakan inisiatif dalam memperkayakan pengalaman pelanggan kami,” tambahnya.

Selain menarik lebih ramai pelawat ke Singapura, ia akan menekankan perkongsian pengetahuan dan meneroka pandangan baharu yang boleh meningkatkan penglibatan pelawat. Sebagai contoh, STB dan Traveloka akan bertukar-tukar pandangan untuk membangunkan lebih banyak kempen promosi yang disasarkan dan mencipta pengalaman perjalanan yang disesuaikan.

Dengan memanfaatkan kepakaran yang dikongsi bersama, kerjasama itu bertujuan untuk meningkatkan keseluruhan pengalaman pelawat dan memacu hasil yang memberi kesan merentasi seluruh Asia Tenggara.

Pengarah Eksekutif STB Asia Tenggara, Terrence Voon berkata Traveloka telah menjadi rakan kongsi penting dan dihargai sejak kerjasama pertama mereka pada 2019.

“Memandangkan sektor pelancongan terus pulih di rantau ini, perkongsian kami akan membantu membuka potensi pelancongan yang kaya di Asia Tenggara, membantu kami memahami pelanggan dengan lebih baik dan mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini,” katanya. - DagangNews.com