Tren Laluan Putrajaya alami kelewatan akibat kecurian kabel

4 Oct 2026 • 10:46 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Tren Laluan Putrajaya alami kelewatan akibat kecurian kabel

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Perkhidmatan tren di Laluan Putrajaya kini mengalami kelewatan berikutan kehilangan bekalan kuasa akibat kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Taman Equine, menurut Rapid KL.

Rapid KL memaklumkan kejadian itu dikesan pada 5.24 pagi tadi, apabila sebuah tren tidak dapat bergerak di Stesen Taman Equine, dan pasukan teknikal telah digerakkan untuk menjalankan pemeriksaan serta kerja-kerja pembaikan bagi memulihkan bekalan kuasa serta perkhidmatan tren.

Susulan gangguan operasi itu, penumpang dijangka mengalami waktu menunggu yang lebih lama di platform, terutamanya di Stesen UPM, Stesen 16 Sierra dan Stesen Putrajaya Sentral.

Bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan, perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara telah diaktifkan, melibatkan tren dari Stesen Kwasa Damansara yang berpatah balik di Stesen UPM dengan kekerapan 10 minit, serta tren dari Stesen UPM ke Stesen 16 Sierra, juga dengan kekerapan 10 minit.

"Tren perantara dari Stesen 16 Sierra ke Stesen Putrajaya Sentral pula beroperasi dengan kekerapan tujuh minit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, bas perantara ulang-alik percuma disediakan di antara Stesen Serdang Jaya, UPM, Taman Equine, Putra Permai, 16 Sierra, Cyberjaya Utara, Cyberjaya City Centre dan Putrajaya Sentral dengan kekerapan 15 hingga 20 minit bergantung pada keadaan trafik semasa.

Sementara itu, penumpang yang menggunakan Laluan Putrajaya untuk ke Sepang melalui perkhidmatan ERL di Putrajaya Sentral dinasihatkan supaya mengambil kira masa perjalanan yang lebih panjang berikutan gangguan itu.

RapidKL turut menyarankan penumpang untuk menggunakan laluan alternatif melalui Stesen ERL KL Sentral dan Stesen ERL Bandar Tasik Selatan.

“Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan dan petugas stesen ditempatkan di platform dan ruang legar stesen untuk membantu penumpang. Pengumuman berkala mengenai jadual perjalanan tren turut dibuat di stesen,” katanya.

Rapid KL memandang serius kejadian kecurian kabel yang boleh menjejaskan kelancaran perkhidmatan serta keselamatan operasi, selain terus memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini tentang status perkhidmatan dari semasa ke semasa menerusi laman media sosial Rapid KL dan aplikasi perjalanan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved