Trend kes Covid-19 di labuan kembali meningkat

15 Jul 2022 • 5:34 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

LABUAN: Pulau bebas cukai di sini merekodkan trend peningkatan kes Covid-19 dalam tempoh dua minggu lalu dengan 40 kes aktif dilaporkan setakat hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari, berkata kebanyakan kes adalah penularan tempatan dengan hanya 10 peratus kes import.

Kami telah menjangkakan aliran meningkat berikutan pembukaan semula sempadan dan sektor ekonomi. Bagaimanapun, keadaan terkawal berikutan peningkatan bilangan individu telah lengkap dos suntikan vaksin,” katanya.

Dr Ismuni menambah bahawa pulau itu telah merekodkan dua digit kes sejak beberapa hari lalu dengan 14 kes dilaporkan kelmarin.

“Kita tidak boleh terlalu bimbang tentang trend meningkat kerana semua kes adalah dalam kategori satu dan dua...tiada pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Beliau berkata, walaupun Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Labuan ditutup, Hospital Labuan masih menyediakan rawatan kepada kes kemasukan pesakit Covid-19.

“Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) kami masih menjalankan penilaian kes yang disyaki berpotensi merebak dengan cepat kepada masyarakat setempat,” katanya.

Dr Ismuni berkata petugas penjagaan kesihatan bersedia untuk menangani subvarian Omicron BA.5, yang boleh merebak dengan pantas.

“Nasihat kami kepada rakyat adalah sama iaitu teruskan mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi, elakkan kawasan tumpuan orang ramai dan sentiasa memakai pelitup muka,” katanya.-Bernama