Tribunal bagi Antigangguan Seksual selesaikan kes dalam tempoh 60 hari

LocalPolitics
11 Jun 2026 • 5:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tribunal bagi Antigangguan Seksual selesaikan kes dalam tempoh 60 hari
Nancy (tengah) ketika gimik pelancaran pada Majlis Perasmian Pejabat TAGS dan Pelancaran Sistem e-TAGS di Menara Aras Raya pada Khamis. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Tribunal Bagi Antigangguan Seksual (TAGS) yang ditubuhkan pada 8 Mac 2024 telah menerima 99 aduan gangguan seksual setakat 7 Jun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, daripada jumlah itu, 80 aduan telah berjaya diselesaikan dalam tempoh 60 hari daripada hari pertama pendengaran manakala, 19 lagi aduan masih dalam proses pengurusan.

Menurut beliau, tribunal itu kini mengorak satu langkah lebih jauh dengan memperkenalkan e-TAGS iaitu sistem pengurusan aduan secara elektronik yang mula digunakan pada 1 Januari lalu.

"Sistem e-TAGS membantu proses pemfailan, pengurusan, pendengaran dan penyimpanan rekod aduan secara digital agar lebih tersusun, cepat, mudah dan tanpa kertas.

"Sistem ini boleh diakses melalui etags.kpwkm.gov.my dan pembayaran fi aduan juga kini boleh dibuat secara dalam talian melalui gerbang iPayment Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM)," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pejabat TAGS dan pelancaran Sistem E-TAGS di Menara Aras Jaya di sini pada Khamis.

Nancy berkata, masyarakat cenderung memendam serta menyembunyikan isu gangguan seksual itu kerana menganggapnya bersifat sensitif dan mangsa lebih rela mendiamkan diri daripada mengetengahkan isu tersebut ke muka pengadilan.

"Ramai juga yang tidak tahu bahawa gangguan seksual bukan sahaja merangkumi gangguan lisan dan bukan lisan, tetapi turut meliputi gangguan visual, isyarat, dan yang paling teruk secara fizikal.

"Gangguan seksual merupakan isu hak, keselamatan, dan kesejahteraan masyarakat dan ia bukan sekadar 'gurauan' atau isu peribadi," tegas beliau.

Nancy berkata, tribunal yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) selaras dengan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840), bertujuan menyediakan saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk mendengar dan memutuskan aduan gangguan seksual.

"Semua pendengaran tersebut dijalankan secara tertutup sepenuhnya dan turut diadakan di luar Lembah Klang termasuk di Sri Aman, Sarawak.

"Sekiranya sesuatu aduan gangguan seksual berjaya dibuktikan berdasarkan imbangan kebarangkalian, TAGS akan mengeluarkan Award yang boleh mengandungi permintaan maaf rasmi, penyiaran permohonan maaf, pampasan sehingga RM250,000, dan/atau kewajipan menghadiri program yang bersesuaian," katanya.

Nancy berkata, usaha membentuk budaya sifar toleransi di tempat kerja, institusi pendidikan serta ruang awam perlu diperkukuh bagi memastikan setiap individu dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved