LANGKAWI – Pengusaha feri menjelaskan kekerapan perjalanan ke Langkawi akan kembali kepada jadual asal apabila keadaan operasi kembali stabil khususnya melibatkan kos bahan api.
Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, pengurangan trip daripada lima kepada tiga perjalanan sehari ketika ini adalah langkah sementara bagi memastikan kelangsungan operasi feri.
Menurutnya, keputusan itu dibuat susulan peningkatan mendadak kos diesel industri yang melebihi 100 peratus sehingga memberi tekanan besar kepada pengusaha.
“Pengurangan trip lima kepada tiga adalah disebabkan kos operasi di Langkawi terlalu tinggi kerana kos diesel industri telah meningkat. Kami terpaksa mengurangkan trip kerana perlu mengurangkan kos operasi agar kelangsungan feri ini dapat dikekalkan, supaya feri ini tidak ditutup,” katanya pada Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas keperluan pihaknya mengurangkan trip perjalanan ke Langkawi selepas isu catuan perjalanan feri itu mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak termasuk pemain industri pelancongan dan penduduk tempatan berikutan kesannya terhadap ekonomi pulau tersebut.
Jelas Norhafiz, pihaknya akan menambah kekerapan perjalanan terutama pada waktu puncak bagi menampung permintaan pelancong domestik, antarabangsa serta penduduk tempatan.
“Apabila keadaan kembali pulih, kami akan tingkatkan semula trip kepada kadar normal kepada lima trip seperti sebelum ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan pihak pengusaha sedang meneliti pelaksanaan surcaj bahan bakar yang diperkenalkan kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia sebagai langkah membantu mengurangkan beban kos operasi.
Katanya, kadar tambang feri ke Langkawi ketika ini masih antara yang terendah berbanding destinasi pulau lain seperti laluan Kuala Kedah ke Langkawi yang berharga RM26.50 sehala berbanding laluan Mersing ke Pulau Tioman yang mencecah sekitar RM60 walaupun jaraknya hampir sama.
“Walaupun kos operasi meningkat, kami masih mengekalkan kadar tambang rendah bagi memastikan akses kepada pengangkutan ini kekal mampu milik,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan diminta campur tangan bagi menyelesaikan isu catuan perjalanan feri ke pulau peranginan ini, yang didakwa memberikan kesan kepada industri pelancongan serta kehidupan harian penduduk setempat.
Perkara itu disuarakan oleh beberapa wakil badan bukan kerajaan pada perhimpunan aman yang disertai ratusan peserta di hadapan Terminal Jeti Penumpang Kuah, Langkawi pada petang Ahad.




