
Empat kali percubaan saya ke bumi Sabah sebelum ini, namun semuanya berakhir dengan kegagalan. Akhirnya, satu trip solo ke Kampung Dagat membuka diari pancingan ikan kanai saya dengan cemerlang, ditambah seekor lagi spesimen yang hidup di perairan air tawar sebagai bonus.
Pancingan ikan kanai atau black bass bukannya perkara enteng, banyak faktor yang boleh menyebabkan ‘kumpau’, antaranya keadaan air sungai tidak cantik atau keruh akibat hujan kuat.
Jadi, kita langsung tidak dapat menaikkan ikan yang ganas ini, walaupun banyak kali gewang dirembatnya.
Sebab itu, perancangan rapi harus dilakukan seperti bertanyakan tekong tarikh atau musim terbaik, keadaan cuaca dan pasang surut air.
Kemudian, peralatan memancing juga harus ampuh, cukup ringan untuk melempar gewang saiz besar, namun masih kuat untuk memaksa ikan keluar dari reba-reba yang berselirat banat.
Teknikal
Saya berbekalkan tiga set mengilat, pertama, joran Monsterkiss MX6 PRO (PE6) dengan kekili, Revo Beast gear ratio 5.8:1, diisi tali OZMY X8 (80lb) dengan leader, Xbraid fluorocarbon 130lb.
Set kedua, joran Monsterkiss MX6+ (PE5) digandingkan dengan kekili Daiwa Zillion TW 1516 gear ratio 5.5:1 dimasukkan tali OZMY X4 60lb dan diikat leader Xbraid 100lb.
Set ketiga pula, joran Monsterkiss MV65 (PE5), bersama kekili Revo 5 Winch gear ratio 5.4:1 dengan tali utama OZMY X4 60lb dan leader Xbraid 115lb.
Ketiga-tiga joran Monsterkiss tersebut jenis beberapa keratan yang pendek (multi-pieces), jadi memudahkan perjalanan saya tanpa perlu menggunakan bekas joran (bazooka) yang panjang dan melecehkan.

Walaupun saya ada mencuba gewang topwater, namun gewang selaman dalam tetap menjadi pilihan utama kerana sungai-sungai di kawasan ini dalam sehingga melebihi 20 kaki di sesetengah lokasi.
Gewang seperti Evergreen Gold Digger 600, Duo Realis Fangbait 100DR dan 140DR terbukti efektif ketika trip.
Selaman dan renangannya yang stabil di perimeter yang dikehendaki, ditambah dengan warna terang, mungkin antara faktor ikan cukup tergoda untuk menyergapnya.
Lesen pertama
Beberapa bulan sebelum trip, saya sudah mendapatkan nasihat daripada tekong Patir Toy berkenaan tarikh terbaik, dan kebetulan ia jatuh pada minggu cuti sekolah baru-baru ini.
Trip ini saya turun berseorangan sahaja ke Kampung Dagat dalam daerah Kinabatangan, Sabah. Dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda, perjalanan dari lapangan terbang Tawau mengambil masa lima hingga enam jam untuk sampai. Di satu tempat, saya perlu merentasi Sungai Segama dengan feri.
Kebetulan kawasan ini dilanda kemarau panjang hingga menyebabkan air Sungai Segama menjadi lebih jernih daripada kebiasaan.
Awal pagi hari pertama, kami mencuba di beberapa reba kayu yang sebelum ini sangat produktif, namun hampa. Apabila tekong merasa air sungai, dia dapati tawar dan apabila bertanya kepada penduduk sekitar mereka memaklumkan, di hulu turun hujan lebat pada malam sebelum.
Ikan kanai tidak mahu buka mulut, jadi kami berpindah ke Terusan Yakang. Di sini, kami mencuba di beberapa reba dan saya kena seekor ikan siakap putih sebagai salam perkenalan trip.
Beberapa kali melempar gewang di setiap sudut reba yang sama tidak membuahkan hasil, lantas tekong menasihatkan supaya berehat seketika untuk makan tengah hari.

Awal petang, kami mencuba sekali lagi di reba yang sama sebelum berpindah ke kawasan lain. Sudah hendak rezeki, akhirnya saya kena ikan kanai pertama dalam hidup selepas empat trip yang gagal secara total sebelum ini.
Hati saya sungguh puas kerana ikan ini merupakan satu-satunya spesies ikan muara yang masih belum masuk senarai trofi saya.
Benar seperti apa yang rakan-rakan yang berpengalaman bertarung dengan ikan brutal ini, perlawanannya sungguh kuat, walaupun saya menggunakan set pancing super kuat untuk kawasan estuari.
Saya merasakan jika lepa sesaat dan ikan berjaya ‘mencuri’ walau sekaki sahaja tali, maka ke dalam rebalah ia bersemayam. Sebab itulah, amat penting set pancing yang kuat untuk menghela ia keluar secara paksa bagi mengelakkan berputih mata.
Perambut (leader) yang tebal dan kasar serta mata tiga gewang kuat juga dapat meningkatkan peratusan kejayaan menaikkan ikan kanai ini.
Kanai air tawar
Hari pertama, saya sudah pun dapat lesen kanai, di hari kedua tekong bawa ke Sungai Tabin untuk mencari ikan kanai yang yang lebih ‘rare’ kerana ia hidup di habitat air tawar 100 peratus (freshwater black bass).
Apabila masuk sahaja ke Sungai Tabin, saya dapati airnya jernih dan menurut tekong sedikit surut akibat musim kemarau. Dia juga menambah, di hulu sungai ini merupakan kawasan sungai pergunungan yang dihuni ikan sebarau dan tapah.
Ada kawasan yang cetek dan bot harus bergerak perlahan dengan berdayung kerana banyak kawasan berselirat reba-reba kayu, jadi saya memilih untuk menggunakan gewang minnow selaman cetek.
Di satu kawasan reba yang padat, gewang saya disergap sebaik melepasi bahagian tepinya. Ikan berjaya dikekang daripada berpatah balik ke dalam reba. Selepas itu, barulah ia dapat didaratkan. Kejayaan berganda buat saya dengan ikan kanai air tawar ini.
Kami mencuba lagi di beberapa kawasan, namun situasi terlalu sukar dengan kehadiran reba-reba yang berselirat dan keadaan sungai sempit. Terus tekong kembali semula ke Kampung Dagat, dia putus seekor, walaupun perambutnya berkekuatan 110lb dan saya kena seekor kerapu bumblebee yang sangat cantik dengan warna kuning menyerlah.
Pada hari terakhir, kami masuk ke Sungai Baklayan melalui jalan pintas yang sempit menerobosi celah-celah pokok nipah. Di sini, saya kena seekor ikan kanai saiz kecil.
Usaha terakhir adalah pergi ke Terusan Yakang dan saya tidak dapat mengawal satu benaman ikan yang meluruskan mata tiga berkekuatan 5X di gewang saya.
Inilah cabaran dan keseronokan pancingan di kawasan estuari, bukan setiap trip dapat banyak ikan. Sebaliknya, kesabaran serta konsistensi amat penting bagi merealisasikan impian merangkul ikan diidamkan.
The post Trip solo mencari kanai pertama appeared first on Kosmo Online.


